- Iklan -
Kolum

Apakah Zahid Hamidi berpeluang jadi PM?

Jarak antara Zahid dan jawatan perdana menteri cumalah janji politik Umno untuk mengekalkan Ismail untuk jawatan itu.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Apakah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi masih berniat untuk menjadi perdana menteri? Tidak diketahui.

Umum mengetahui Umno sudah mengumumkan bahawa calon perdana menteri mereka ialah Ismail Sabri Yaakob dan bukannya Zahid. Namun semua pihak tahu betapa ceteknya janji politik ini.

Jika Umno mampu membentuk kerajaan dengan sendiri memenangi lebih daripada 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apakah janji itu akan dikota jika presiden dan timbalan presiden parti Melayu itu juga layak dilantik menjadi perdana menteri?

Bagaimana pula kalau Umno terpaksa membentuk kerajaan dengan parti-parti yang lain, apakah parti-parti lain setuju untuk mengekalkan Ismail sebagai perdana menteri?

Dua soalan yang memenatkan otak ini kita biarkan sahaja ia difikir oleh Umno dan Ismail sendiri.

Tulisan kali ini sekadar untuk menganalisis secara objektif soalan cepu emas ini, apakah peluang Zahid untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15?

Dahulu jika Umno dan Barisan Nasional (BN) memenangi mana-mana PRU, dan presiden Umno turut memenangi kerusi Parlimen, secara automatiknya beliau akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Jarang dan janggal jika yang mengangkat sumpah ialah orang lain seperti timbalan presiden mahupun naib presiden Umno.

Ia hanya mungkin terjadi jika presiden sendiri tewas pada PRU.

Ia juga mungkin terjadi kerana Yang di-Pertuan Agong tidak perkenan presiden Umno untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Ia juga mungkin terjadi kerana presiden Umno sendiri menolak jawatan itu sendiri dan bertegas mengotakan ketetapan parti untuk melantik orang lain sebagai perdana menteri.

Di Malaysia, seseorang belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

Meskipun Zahid sedang menghadapi tuduhan rasuah, tapi beliau masih seorang yang belum bersalah.

Mungkin persepsi politik terhadapnya tercalar, namun realitinya beliau sama taraf dengan ahli-ahli politik baik yang bebas daripada sebarang sabitan kesalahan.

Apakah kes mahkamah Zahid boleh menjadi penghalang kepada peluangnya menjadi perdana menteri?

Melihat fenomena “bossku” yang berlaku pada Najib Razak, nampaknya kes mahkamah terhadap sesiapa di Malaysia bukan penghalang kepada rakyat Malaysia untuk menerima Zahid.

Oleh itu, peluang Zahid untuk menjadi perdana menteri ada dan peluangnya agak cerah tapi mencabar.

Jarak antara Zahid dan jawatan perdana menteri cumalah janji politik Umno untuk mengekalkan Ismail untuk jawatan itu sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Namun apakah janji ini masih relevan ketika itu?

Apakah ada kaitan antara tindakan Zahid mendesak PRU diawalkan dengan peluangnya untuk menjadi perdana menteri? Tidak pasti.

Tetapi jangan lupa, politik Malaysia ini memang serba boleh.