- Iklan -
Kolum

‘B52′ Haq Bahoo Plaza, Karachi

Setiap kali aku teringat pada Karachi, aku ingat pada “flat B52” aku dan Perang Vietnam.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Hishamuddin Rais sees himself as a creator of non-governmental individuals – NGIs – and a mass movement of one. A Negeri Sembilan-born Sakai from the Biduanda clan, he is into food, sex, travel, politics, culture and rock 'n roll, in that order.

Mustahil aku akan terlupa alamat flat aku di Karachi, Pakistan.

Aku menyewa flat di Haq Bahoo Plaza, University Road, Gulshan-e-Iqbal, Karachi.

Nombor flat ini 52B, sama dengan nama kapal terbang pengebom Amerika.

Pesawat B52 ini bertanggungjawab memusnahkan hutan belantara dan sawah padi dalam Perang Vietnam (1955-1975).

Setiap kali aku teringat pada Karachi, aku ingat pada “flat B52” aku dan Perang Vietnam.

Bilik akhir yang aku tinggalkan di Pakistan ialah flat ini.

Dari Karachi aku naik kereta api ke Lahore kemudian melintas masuk ke Wagah Border, sempadan India-Pakistan.

Ini dalam perjalanan aku menuju Eropah. Kota akhir Pakistan yang aku tinggalkan ialah Lahore.

Kota pertama aku masuk ke India ialah Amritsar. Kali pertama aku sampai ke Pakistan pada 3 September, 1977.

Aku bersama Yunus Ali singgah untuk berjumpa Abu Yacob.

Sosok ini aku kenali di Kuala Lumpur. Dia merupakan anggota Al-Fatah dan juga wakil rasmi Palestine Liberation Organisation (PLO) di Malaysia.

Pada tahun 1977, Abu Yacob menjadi duta Palestin di Islamabad, Pakistan.

Aku singgah di Pakistan dalam perjalanan ke Baghdad dari Australia.

Aku dipaksa meninggalkan Australia setelah kerajaan Perdana Menteri Malcolm Frazer menafikan permohonan suaka politik aku.

Ketika aku sampai kali pertama di Karachi, Pakistan dalam keadaan kacau bilau.

Pilihan raya dibatalkan. Parti Pakistan People’s Party (PPP) di bawah pimpin Zulfikar Ali Bhutto menang pilihan raya.

Kacau bilau timbul. Kemenangan PPP dinafikan Jeneral Zia-ul-Haq.

Aku dalam keadaan selamat. Aku dan Yunus menjadi tetamu Abu Yacob di ibu negara Islamabad.

Kali kedua aku sampai ke Pakistan pada tahun 1978. Aku sampai seorang diri.

Yunus masih lagi bergerila di Beirut.

Aku berundur dari Timur Tengah, Beirut dan Baghdad untuk kembali ke Asia dan dekat dengan Malaysia.

Awalnya aku menumpang di No 4, WUS International House dalam kampus University of Karachi. Aku menumpang tidur di bilik pelajar dari Patani.

Ketika aku di Pakistan aku menggunakan semua surat menyurat ke alamat No 4, WUS Internasional House.

Ini asrama antarabangsa khusus untuk pelajar luar negara di University of Karachi. Ada pelajar dari Iran, Uganda, Mauritius, Lebanon, Palestin dan Patani.

Kemudian setelah lama menginap dalam kampus University of Karachi aku berpindah.

Aku berkongsi menyewa flat dua bilik dengan A K Dangkor, siswa arkitek yang berasal dari Afrika Selatan

Flat yang aku sewa ini tidak lumayan tetapi selesa walaupun ada gangguan.

Gangguan pertama ialah bunyi teksi “rickshaw” tayar tiga. Tingkap flat ini dari bahan bermutu rendah, tidak berjaya menghalang bunyi rickshaw.

Gangguan kedua, bilik di tingkat lima paling atas, ketika musim panas aduh! Macam bilik terbakar.

Walaupun sedemikian di Pakistan warga yang berupaya tinggal dalam flat dianggap dari kelas menengah.

Ramai warga Karachi tinggal di bilik-bilik sempit berasak-asak atau di wilayah setinggan dalam gobok buruk atau rumah-rumah dari ranting kayu yang dibalut dengan lumpur.

Daerah Gulshan-e-Iqbal, dua batu dari University of Karachi, adalah wilayah kelas menengah Karachi.

Dari segi kewangan aku dibantu oleh kawan-kawan dari Australia.

Ketika aku sampai kali kedua, Pakistan makin kukuh di bawah pemerintahan tentera.

Pilihan raya yang dijanjikan tidak berlaku. Zulfikar Ali Bhutto, bekas perdana menteri kini dalam penjara atas tuduhan membunuh musuh politik.

Jeneral Zia-ul-Haq menobatkan dirinya sebagai “chief martial law administrator (CMLA)” atau ketua pentadbiran tentera.

Dari fakta sejarah semenjak Pakistan ditubuhkan rampasan kuasa sering berlaku.

Proses pilihan raya dan demokrasi satu perkara yang hanya berlaku sekali-sekala di Pakistan.

Di Karachi aku menjadi pendatang haram tanpa status sah. Pasport aku dirampas oleh kedutaan Malaysia di Baghdad ketika aku cuba memperbaharuinya.

Ketika di Iraq hubungan aku dengan National Union of Iraqi Student (NUIS) cukup baik.

Melalui NUIS aku diberi kad perjalanan sementara untuk aku pulang ke Asia.

Dari Baghdad aku terbang masuk Karachi dan terus menjadi pendatang haram tanpa status.

Walau pun di bawah pemerintahan rejim tentera, aku arif dan cekap mengelecek. Boleh membaca keadaan untuk menyelamatkan diri.

Aku mengenali budaya warga Pakistan dan memahami daulah Pakistan. Justeru dengan mudah aku menyerap masuk dan menginap dalam komuniti masyarakat pelajar Patani di Karachi.

Aku ikuti dengan teliti politik Pakistan. Aku perhatikan dalam dunia ini semua negara didirikan atas dasar wilayah bangsa, bahasa dan budaya. Ini termasuk negara yang menjajah atau yang kena jajah.

Hanya Pakistan dan Israel yang diwujudkan atas nama agama. Israel berasaskan agama Yahudi. Manakala Pakistan atas nama Islam. Dua-dua negara ini kelihatan penuh dengan masalah yang tidak pernah selesai.

Babak dan kisah politik Pakistan ini kali pertama aku dengar pada tahun 1968 ketika aku dalam tingkatan lima di Jelebu.

Aku membaca berita dari Utusan Malaysia tentang pelajar Pakistan bangun melawan rejim tentera Jeneral Ayub Khan.

Senjata ditemui dalam bilik pelajar.

Berita juga melaporkan bagaimana pelajar dalam kampus universiti bukan sahaja berdemo malah bertembak-tembak dalam kampus.

Dari apa yang aku baca ada setia kawan dan kerjasama antara pelajar, buruh dan petani yang bangun melawan rejim tentera Jeneral Ayub Khan.

Pada tahun 1977 sekali lagi tentera merampas kuasa.

Kali ini Jeneral Zia bekerjasama dengan mazhab Islam garis kanan.

Kumpulan Islam kanan ini terdiri dari Jamiat Islami dan pelbagai bentuk jamiat, ada Jamiat Uloom, ada Jamiat Al-Quran, Jamiat Tablighi dan Jamiat Ulema.

Tentera mendalangi parti Islam kanan secara gelap untuk menimbulkan huru-hara. Bila huru-hara terjadi maka tentera masuk mencelah.

Tentera mencelah masuk dengan niat untuk menenteramkan keadaan kacau-bilau.

Mondus operandi ini berjaya dilakukan bukan sahaja di Pakistan malah inilah cara yang digunakan oleh Central Intelligence Agency (CIA) di Amerika Latin, di Indo China dan di Afrika.

Contoh terbaik yang hampir dengan kita ialah rampasan kuasa Suharto pada tahun 1965 untuk menjatuhkan Bung Karno di Jakarta.

Projek rampasan kuasa ini sering berlaku di zaman Perang Dingin.

Ketika ini ada pertempuran ideologi antara garis progresif blok sosialis Soviet Union dengan garis kanan kapitalis yang di kepalai oleh Amerika Syarikat.

Aku perhatikan dalam University of Karachi, gerakan pelajar masih aktif walaupun tentera berkuasa. Kuasa tentera kelihatan tidak berupaya untuk mengawal seluruh negara.

Semua kerajaan tentera akan gagal. Ini kerana tentera tidak memiliki keupayaan mentadbir.

Tentera hanya berkawad dan duduk dalam berek menunggu arahan.

Bila tentera dan askar menjadi pegawai awam jawabnya macam Indonesia, Uganda, Mesir atau Pakistan, negara jadi kucar kacir.

Dalam kes Pakistan keadaan bertambah berat kerana secara realiti Pakistan terus menerus dalam suasana perang.

Musuh utama Pakistan ialah India.

Pada tahun 1971 India membantu kelahiran Bangladesh, Pakistan Timur menjadi Bangladesh.

Pada tahun 1974 India meledakkan senjata nuklear pertamanya.

Justeru India menjadi tumpuan utama tentera Pakistan.

Dalam masa yang sama gerakan pemisah bangsa-bangsa di Balochistan dan di Peshawar sedang berjalan.

Biar aku terangkan di sini: Pakistan wujud berpandukan “two nation theory” atau teori dua bangsa.

Teori ini mentakrif dua bangsa Islam dan bangsa Hindu.

Teori dua bangsa ini amat songsang kerana hakikatnya di Pakistan ada bangsa Sindhi, Punjabi, Balochi dan Pashtun atau Pathan.

Semua memiliki kawasan, wilayah, bahasa dan budaya masing-masing.

Penganut Islam juga bukan monolitik.

Hampir 20% bermazhab Shiah, 2% Ahmadiah dan selainnya Sunni.

Pada masa yang sama masih ada lima juta atau 3% penganut Hindu di Pakistan. Ada hampir tiga juta atau 1.27% penganut Kristian di Pakistan.

Sebenarnya Pakistan diwujudkan oleh kaum pemodal kapitalis dan kaum saudagar Islam di India yang tidak sanggup bersaing dengan kaum saudagar dan kapitalis Hindu yang lebih besar dan gagah.

Kaum pemodal dan saudagar Islam berkumpul di bawah teori dua bangsa dan menyokong Muhammad Ali Jinnah dan parti Muslim League untuk berpisah dari India dan mendirikan Pakistan.

Pakistan Barat ibu negara Karachi dan Pakistan Timur ibu negara Dakha.

Dua dekad kemudian teori dua bangsa terbarai apabila Pakistan Timur bangun memberontak dan mendirikan Bangladesh pada 26 Mac, 1971.

Islam sebagai ideologi terbukti gagal mengikat dua wilayah untuk menjadi sebuah republik Islam.

Pada bulan September 1978, Zulfikar Ali Bhutto masih dalam penjara.

Rakyat terus menekan mahukan pilihan raya dijalankan.

Pilihan raya yang diwar-warkan oleh Jeneral Zia hanyalah propaganda kosong.

Rejim Jeneral Zia terus berjanji akan memulangkan pentadbiran negara kepada Parlimen.

Aku perhatikan di mana saja ada rapat umum atau ceramah PPP, puluhan ribu warga Pakistan akan datang.

Ada yang naik bas, naik lori, berjalan kaki dan naik baghal, semua datang mahu mendengar kempen politik sebelum pilihan raya.

Para penyokong PPP memang ramai.

Kini PPP dipimpin oleh Begum Nusrat isteri Zulfikar Ali Bhutto.

Dari apa yang aku lihat, jika pilihan raya diadakan PPP akan menang besar.

Laungan “roti kapda aur makaan” atau makanan, pakaian dan tempat tinggal terdengar di setiap rapat umum.

Malah ditembok-tembok sering aku nampak slogan ini ditulis bersilang dengan sebilah pedang.

Zulfikar dalam bahasa Urdu ialah pedang Saidina Ali. Justeru Zulfikar Ali Bhutto adalah pedang PPP.

Sebagai orang luar aku perhatikan politik semakin hangat.

Dalam kampus pula persaingan antara garis kanan Islam Jamiat Islami dengan garis progresif kiri amat sengit.

Kumpulan Islam menyokong tentera kerana junta tentera Jeneral Zia merapati Parti Jamiati Islami.

Untuk terus mendapat sokongan Islam kanan, rejim Jeneral Zia memasukkan hukum hudud ke dalam hukum kanun Pakistan.

Pelaksanaan Hukum Hudud meyakinkan puak Islam bahawa junta tentera ini wajib disokong.

Jika pilihan raya diadakan PPP yang berbau sosialisme dan kiri pasti menang besar.

“Ban karo.. ban karo… PPP zindabad..boikot tutup.. boikot tutup…PPP menang.”

Laungan ini selalu aku dengar.

Satu pagi ketika aku masuk ke dalam kampus untuk melihat surat dari kawan-kawan, aku ternampak pelajar sedang berhimpun di hadapan pejabat Naib Canselor Ehsan Rasheed. Aku tidak tahu apa isu yang menjadi bantahan.

“Ban karo… ban karo.” Aku terdengar.

Kemudian aku ternampak satu kumpulan pelajar bertempiaran lari.

Api menyambar. Kerusi naib canselor ditarik keluar dari pejabat dan dibakar.

Sehari kemudian aku membaca akhbar Inggeris “Dawn” tentang naib canselor University of Karachi, Ehsan Rasheed.

Sosok ilmuan lulusan Oxford University ini meletakkan jawatan akibat rusuhan pelajar.

Bakar-membakar ini aku baca sebagai satu aksi politik yang kerap berlaku di Pakistan.

Ada kalanya bas dibakar, teksi dan rickshaw dibakar sebagai bantahan.

Justeru aku tidak hairan apabila kerusi naib canselor yang dibakar.

Populariti Bhutto terus melonjak. Jeneral Zia makin terdesak.

Golongan Islam kanan dalam kampus mengembangkan pengaruh.

Kumpulan demokratik pula makin popular.

Kumpulan pelajar demokratik, liberal dan kiri ditentang oleh kesatuan pelajar Islam kanan, Jamiat Islami.

Satu petang aku terdengar bunyi ledakan. Awalnya aku rasa ini bunyi mercun.

Ketika itu aku ada di hostel dengan kawan-kawan. Kemudian bunyi tembakan.

Bunyi tembakan pistol. Bunyi ledakan senapang patah.

Ini berlaku dalam asrama pelajar Pakistan yang tidak jauh dari asrama pelajar luar.

Aku ternampak beberapa pelajar Pakistan berlari-lari sambil menembak ke belakang dengan pistol.

Aku tidak tahu siapa menembak siapa.

Aku ternampak seorang anak muda masuk ke pintu asrama.

Dia mengintai di belakang tembok. Aku nampak dia memegang pistol.

Kemudian menembak ke arah luar secara rambang. Aku memerhati dari bilik asrama.

Lalu aku teringat akan berita tahun 1968 yang aku baca dalam Utusan Malaysia.

Berita tentang senjata ditemui dalam kampus. Kali ini aku sendiri yang menyaksikan di hadapan mata.

Tembakan boleh didengar hingga ke senja. Aku mengundur diri. Entah siapa menembak siapa.

Esoknya aku di 52B, Haq Bahoo Plaza duduk berehat. Tidak ada niat untuk masuk ke kampus University of Karachi.

Tiba-tiba pintu aku diketuk.

Bila aku buka di gigi pintu berdiri Habib.

Pelajar Pakistan dari kumpulan demokratik. Habib amat rapat dengan pelajar Patani. Justeru Habib juga menjadi kawan baik aku.

“Isham… we need help… we need your help… they are looking for Raju.”

Habib meminta pertolongan dari aku untuk membantu Raju.

“Liberal student …Hindu student… the fight yesterday… between Jamiat and Liberal.”

Habib menerangkan yang Raju ini pelajar University of Karachi yang beragama Hindu.

Bila Hishamuddin Rais berhadapan dengan keadaan ini, Hishamuddin Rais tidak banyak songel dan tidak banyak soal jawab.

Aku yang masih diburu oleh pihak berkuasa tahu apa maknanya lari untuk menyelamatkan diri.

Aku juga pernah menumpang di rumah setinggan, di rumah banglo, di kedai Cina.

Lari dari musuh yang sedang mencari.

“Habib… no worries… bring him… tonight.”

Aku menerima Raju dengan hati terbuka. Aku meminta Habib membawa Raju malam ini.

Seperti yang aku dan Habib rancang, Raju datang bersendirian pada sebelah malam agar tidak diketahui oleh ramai orang.

Kawan flat aku A K Dangkor juga faham apa yang sedang berlaku.

Dia tidak membantah adanya tamu ke B52.

Raju anak muda 20-an berasal dari Hyderabad, Sindh. Siswa tahun tiga jurusan politik dan hubungan antarabangsa.

“We are Hindus… still many Hindus in Sindh. My parents refused to migrate to India during partition, our land is in Hyderabad. We have big family in Hyderabad.”

Raju berkisah bagaimana ayahandanya enggan berpindah ke India ketika pemisahan berlaku tahun 1947.

Pada hemat aku Raju ini pasti anak orang berada kerana dia memiliki motorsikal.

Amat jarang pelajar memiliki motorsikal di University of Karachi. Boleh dikira dengan jari.

“I plan to go back to Hyderabad, when the situation is safe.”

Raju merancang untuk bermotorsikal kembali ke kampung yang jauhnya 800 batu lebih dari Karachi.

“You can stay here until safe.”

Aku tidak menghalang Raju untuk terus bermukim di bilik aku hingga keadaan selamat.

Selama empat hari Raju menginap di 52B.

Apa aku makan, dia makan. Dia tidur di bilik tetamu. Anak muda perjuangan yang tak banyak cerewet.

Hari ke lima Raju minta diri dan beredar dengan motorsikalnya meninggalkan aku di B52, Haq Bahoo Plaza.