- Iklan -
Kolum

Taliban sang Frankestein

Atau, soalan lebih tepat; mengapakah dunia tiba-tiba berubah, dan membiarkan Afghanistan sendirian?

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Pada hari Taliban memasuki kota Kabul, Aghanistan di pagi 16 Ogos 2021, dan di saat Presiden Ashraf Ghani meninggalkan negaranya; pelakon kelas A Hollywood, John Cusack menghantar satu ciapan berbunyi (terjemahannya); “Islam Radikal dan ‘Exceptionalism Amerika’ tidur satu ranjang. Mereka adalah kekasih, fikiranku begitu.”

“US exceptionalism” adalah satu faham di mana “Amerika kan lain” justeru “Amerika adalah segala-galanya”.

Atau, barangkali dalam kerangka berbeza, ia berbunyi “ketuanan Amerika”.

Apabila ia melibatkan Afghanistan, faham ini terserlah dengan jelasnya.

Apakah yang berlaku di Afghanistan?

Sebelum minggu lalu, Taliban hanya menguasai sebuah kota sejak 2001, Kunduz dalam tahun 2015, dan itu pun hanya untuk beberapa hari.

Akan tetapi, dalam minggu lalu, kira-kira lapan hari, Taliban sudah menakluki seluruh negeri gunung-ganang tersebut.

Apa yang terjadi?

Atau, soalan lebih tepat; mengapakah dunia tiba-tiba berubah, dan membiarkan Afghanistan sendirian?

Misalnya kementerian kebudayaan Iran, sebuah negara yang berkongsi sempadan dengan Afghanistan, di bawah kepimpinan baru negara itu memberitahu medianya agar mengelakkan penggunaan kata “vahsigari” atau ganas untuk Taliban.

Padahal pada tahun 1998, Taliban membunuh sembilan orang diplomat Iran termasuklah seorang pengamal media rasmi republik itu.

Satu-satunya pemimpin Malaysia (atau mungkin dari seluruh dunia Islam) yang memberi respon paling bermakna mengenai Afghanistan adalah bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang dalam ucapan bertajuk “Afghanistan Post-US Military Withdrawal: The Prospect of Peace” di satu webinar pada 5 Ogos 2021 lalu menegaskan adalah menjadi satu tanggungjawab segera untuk jiran-jiran Afghanistan membantu negara itu agar tidak jatuh ke dalam jurang kemusnahan sekali lagi.

Saya punya seorang teman di Universiti Kabul yang pernah menuntut di Malaysia.

Lebih seminggu beliau tidak membalas sebarang mesej saya.

Kelmarin beberapa jam sebelum Taliban memasuki Kabul, dia menjawab; “Dr, doakan saya. Kematian lebih baik. Saya tidak akan sanggup hidup di bawah Taliban.”

Teman saya itu pernah berada di Malaysia untuk menuntut suatu ilmu yang sukar mendapat biasiswa dari Afghanistan – sosiologi – kerana menurutnya bidang sains, kejuruteraan, dan ekonomi paling didanai.

Tiada biasiswa atau pendanaan untuk siswa bidang seni dan lain-lain disiplin di bawah ilmu kemanusiaan.

Makanya, pandangan teman saya untuk pemerintah Afghanistan, dan juga untuk masyarakat sivil yang ramai-ramai berkampung dengan duit Kesatuan Eropah dan Amerika itu jatuh ke telinga yang tuli.

Sosiologi ilmu mengatur dan menyelesaikan masalah masyarakat dipandang enteng.

Seni, satu ilmu membujuk masyarakat secara halus disampahkan.

Hari ini segala kemajuan sains teknologi yang diusahakan selama dua dekad dengan pelaburan yang besar dari dunia (atas nama US exceptionalism), tidak dapat menahan kemaraan Taliban yang mempunyai sejarah keganasan, pembunuhan minoriti, pencabulan hak asasi dan kekerasan (semuanya dengan menunggang agama).

Kajian teman saya itu ialah bagaimana wanita dapat diperkasakan, dan hubungannya dengan pembinaan taman di dalam kota.

Memang, ia terasa asing dan tiada guna.

Akan tetapi taman-taman ini sebetulnya memberikan kelegaan dan ketenangan untuk wanita yang kemurungan oleh krisis demi krisis di negara perang tersebut.

Taman itu menjadi ruang hak asasi manusia, tempat pertukaran budaya, pendapat dan juga suara.

Teman saya itu menawarkan kajiannya kepada pemerintah Afghanistan dan juga pendana masyarakat sivil di negara tersebut.

Kajian beliau ditertawakan.

Kata mereka, “kami memerlukan pembinaan senjata, kemodenan dan juga pelaburan yang besar”.

Bukan taman.

Dalam diam, kawan saya itu dialahkan oleh “US exceptionalism”.

Afghanistan adalah satu bukti bahawa pembinaan sesebuah negara memerlukan ilmu kemanusiaan.

Sains adalah hasil dan produk kepada pemikiran yang sihat dan matang.

Untuk mencipta sains dan segala macam kejayaan, minda yang senonoh dan kesan penaakulan yang mendalam diperlukan.

Untuk itu negara, atau mana-mana peradaban yang runtuh ekoran perang memerlukan ilmu falsafah, ilmu sosiologi antropologi, ilmu sejarah, dan ilmu paling penting ialah seni; yang gunanya untuk membujuk manusia secara insani.

Berapa banyak misalnya pemugaran seni untuk menghidupkan jiwa setara Ahmad Shah Massoud, seorang yang berjaya menyatukan banyak suku kaum, melawan Soviet Union dan kemudian Taliban lalu terbunuh dua hari sebelum September 11?

Mungkin, satu-satunya penemuan saya mengenai nama Massoud adalah dalam novel grafik karya wartawan Malaysia Zan Azlee, yang diusahakan bersama ilustrator Fatah dan Farah, Arif Rafhan dengan judul “Adventures of a KL-ite in Afghanistan”.

Akan tetapi seni diabaikan di Afghanistan.

Sebuah negara perang patutnya memberikan kita filem atau novel besar (tentu selain Khalid Hosseini yang sudah hijrah dengan The Kite Runner).

Mana ada seni?

Maka minda masyarakat tidak berubah.

Taliban dipandang besar.

Atau Taliban dipandang betul.

Atau Taliban digeruni.

Taliban sendiri tidak didekati.

Masyarakat tidak diajar dengan seni.

Taliban tidak dipujuk.

Tak ada keseriusan.

Cuma kegilaan menabur wang atas nama US exceptionalism.

Maka negeri yang penuh puak dan suku kaum itu sukar dimengertikan.

Tanpa pemugaran seni yang khusus dan falsafah yang betul, sejarah Afghanistan mengalami kekeringan di mana selama 20 tahun generasi baru Afghani dikenyangkan dengan duit US exceptionalism itu.

Teman saya itu antara lain produk gagasan ketuanan Amerika tersebut.

Dia di Malaysia dengan dana tersebut.

Cuma dia sempat sedar.

Dia, teman saya itu, sering mengeluh tidak adanya kajian sosiologi untuk membanteras korupsi di negaranya.

Dia terpesona dengan kajian rasuah oleh Syed Hussein Alatas.

Dia ikut menyaksikan kejatuhan regim Najib Razak yang diulit skandal 1MDB pada tahun 2018.

Dia sering menganggap kadar kecelikan budaya rakyat Malaysia begitu tinggi.

Dia pulang ke negaranya, sejurus selepas Covid-19 melarat di luar Wuhan dan tiba di pintu negara kita.

Teman saya itu pulang tiga minggu setelah Langkah Sheraton.

Hari ini korupsi mengalahkan tentera Afghanistan yang sekian lama dibaja dengan wang US exceptionalism.

Taliban boleh menyogok dengan mudah.

Bukan itu sahaja, oleh kekontangan seni dan kefahaman dalam ilmu kemanusiaan, tiba-tiba semangat dan keberanian bangsa menghuni celah banjaran itu menjadi mandul.

Tidak ada perlawanan di saat Taliban menyusup masuk dengan pantas.

Tiba-tiba kepahlawanan Ahmad Shah Massoud terbenam entah di mana.

Kembalinya Taliban di Afghanistan menguatkan bakal Islam Radikal, sang kekasih gelap US exceptionalism.

Ia akan menguatkan fahaman ketuanan Islam dan kebencian terhadap minoriti di rantau Melayu tentunya.

Satu-satu kejadian di Afghanistan akan merebak dengan lekas sekali.

Lebih lekas dari pudarnya Covid.

Taliban pernah dipuja oleh Melayu satu masa lalu.

Ia sempat mengakar dan mengajar ramai saintis dan agamawan menjadi keras.

Ia menghantar Melayu menjadi teroris di Bangkok, Bali, Jakarta hatta New York.

Kerja 20 tahun terbungkus kerana seni dan sosiologi dipundekkan.

Kegilaan Taliban di Afghanistan dan bagaimana ia menghantar ketakutan ke seluruh dunia bukan terjadi 1400 tahun lalu.

Di akhir filem Rambo, US exceptionalism menghantar dedikasi “filem ini untuk pejuang mujahidin yang berani di Afghanistan”.

Betul, mereka berkendak.

Seorang pemimpin wanita yang berani dan berwawasan jauh dari Pakistan, namanya Benazir Bhutto pernah mengatakan kepada Presiden George H W Bush apabila US exceptionalism memupuk Islam Radikal:
“Tuan Presiden salah strategi, kamu sedang membesarkan Frankenstein!”