- Iklan -
Kolum

Abah yang nyanyuk

Dalam The Father, Anthony Hopkins menjadi seorang bekas jurutera yang sudah bersara, syahdu kematian salah seorang anaknya yang amat ia cintai dalam kemalangan.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Satu yang luar biasa sekali untuk menonton lakonan penuh stamina Anthony Hopkins dalam The Father.

Iaitu sebagai seorang lelaki tua – 83 tahun – yang sudah nyanyuk dan mulai lupa dan berasa bingung dengan kekeliruan demi kekeliruan yang ia hadapi dengan nyata.

Hopkins memenangi anugerah Oscar baru-baru ini untuk lakonan luar biasa beliau itu.

Hopkins pernah membawakan pelbagai watak yang sukar seperti menjadi bekas Presiden Amerika Richard Nixon, cemerlang selaku Pope Benedict XVI, memegang peran King Lear (sebanyak dua kali), dan tentu diingati sebagai Hannibal Lecter; si pemakan daging manusia.

Dalam The Father, Anthony Hopkins menjadi seorang bekas jurutera yang sudah bersara, syahdu kematian salah seorang anaknya yang amat ia cintai dalam kemalangan; dan kini di ambang untuk ditinggalkan oleh anak perempuan sulungnya yang akan berpindah ke Paris kerana menemui kekasih hati.

Hanya berlegar dalam sebuah flat mewah, kita dipaparkan dengan fragmen-fragmen fikiran seorang lelaki tua renta – Anthony – yang semakin nyanyuk.

Untuk itu, kita dihidangkan apa yang ada dalam benak seorang nyanyuk iaitu bagaimana mereka misalnya tertukar antara seorang individu dengan individu lainnya.

Lakonlayar The Father hidup dan terjelma dari sebuah naskah drama pentas karya pengarang Perancis, Florian Zeller.

Drama ini memang terkenal dan berhantu. Ia menang hadiah di Perancis.

Ia meletakkan seorang lelaki tua yang semakin merosot ingatannya berdepan dengan anaknya yang semakin hari semakin jenuh dan lelah menjaga.

Di sisi Anthony Hopkins sebagai anak ialah pelakon hebat British, Olivia Colman yang tangis dan letihnya dalam diam amat kita rasai sama.

Oleh sebab The Father datang dari sebuah drama pentas, kita mendapati skrin filem ini hanya sekitar sebuah ruang yang kecil.

Ruang itu pula kian hari kian berubah dan akhirnya dipastikan adalah sebuah wad atau kamar kecil yang usang di sebuah pusat jagaan orang tua.

Juga kerana ia dari sebuah drama pentas, kekuatan utama filem ini tentulah terletak pada naskah itu sendiri; dan lakonan para pemerannya.

Cabaran dramatis Perancis ini ialah untuk mengangkat naskahnya yang tepu keperancisan untuk dimuatkan satu dunia yang tepu keinggerisan.

Maka cabaran adaptasi dari pentas ke skrin begitu besar, selain menuliskan kembali dunia Anthony di pentas, Florian terdesak untuk membubuh pentasnya dalam medium filem yang memerlukan gambar bergerak dan bukan dialog yang pantas dan bercanggah-canggah.

Zeller berhasrat untuk mengupas apa yang dialami oleh seorang tua nyanyuk.

Misalnya mengapa mereka sering berasa resah, membantah, kadang lupa, degil keterlaluan, dan kadang berjenaka acap pula meruok marah dan cepat tergelincir menjadi murung dan duka.

Makanya perhatian diberi kepada watak Anthony yang menurut Zeller, ketika dia mengarang lakonlayarnya hanya ada Anthony Hopkins dalam retina mata.

Lakonan mantap Anthony Hopkins dalam The Father menyebabkannya memenangi Anugerah Academy.

Justeru watak itu memang digubah untuk Anthony.

Zeller mengupas satu lapis demi satu lapis benak atau ingatan bercelaru lelaki nyanyuk ini.

Misalnya mengapa dia terlalu menumpu perhatian kepada jam tangannya yang sering disalah letak.

Atau mengapa dia bingung apabila anaknya yang pulang dari membeli dan membakar ayam di dapur kelihatan kembali berulang-ulang.

Lebih menakutkan ialah apabila wajah biasa anaknya itu tiba-tiba tertukar dengan orang lain yang juga mengaku sebagai anaknya.

Itu semua ternyata membuatkan seorang nyanyuk nanar dan tidak keruan.

Zeller meletakkan kita dalam potensi dan ruang itu sehingga kita akhirnya memahami, inilah dunia seorang nyanyuk.

Ia menakutkan, ia serasa seakan-akan memburu dan diburu; dan lebih menggerunkan kita tidak tahu apa yang menunggu.

Lakonan Anthony Hopkins sangat fenomenal.

Pada satu ketika, ada adegan anaknya lakonan Olivia Colman yang ditukar dengan pelakon lain (juga memeran sebagai anaknya) iaitu aktres Olivia Williams, kita dapat melihat bagaimana mimik muka Hopkins terkejut, bingung, bimbang tetapi perlahan-lahan cuba menguasai dirinya supaya terlihat ia seorang abah dalam kawalan, padahal tidak pun.

Anthony Hopkins adalah satu-satunya pelakon menurut saya yang tahu bila masa ia perlu berlakon (lihat beliau sebagai Pope Benedict atau Richard Nixon), dan bila pula beliau hanya perlu mengalir dengan naratif (seperti dalam filem The Remains of the Day dan tentu The Silence of the Lambs); atau bila pula beliau sepertinya tidak perlu berlakon (sebagai bapa Thor).

Dalam The Father, ketiga-tiga skil ini beliau mainkan sekali sehingga kelihatan berlapis-lapis gubahan aktingnya.

Ia memahamkan kita lakonan adalah sememangnya satu seni.

Pada satu ketika yang sangat mengharukan, kita melihat seorang lelaki tua merayu merintih mencari ibunya kerana sudah tidak tahan dan terlalu runtuh moralnya sebagai seorang yang celaru.

Kita juga melihat perit dan pedihnya bila mengenangkan kematian anak yang paling digemarinya.

Atau kita melihat segan dan aibnya di sisi penjaga atau jururawat yang menenangkan.

The Father pasti menjadi satu rujukan pelajar seni lakon untuk masa-masa mendatang.

Ia juga tentu sahaja akan menjadi sebuah khazanah Anthony Hopkins yang cukup berbekas.

Tidaklah menghairankan jika Anthony Hopkins dipilih oleh Anugerah Academy untuk menyandang gelar pelakon lelaki terbaik musim ini memandangkan krafnya yang begitu halus dan teliti.

Bersama-sama padanan muzik Ludovico Einaudi yang menggema ruang flat Anthony, mood sedih dan payah seorang abah nyanyuk itu bangkit meresap dalam pembuluh darah kita.

Menonton filem ini mendatangkan rasa kasihan kepada semua orang tua yang sudah nyanyuk dan tidak pandai membawa diri, apatah lagi memimpin dunia kelilingnya.

Ia ingin menunjukkan keegoannya bahawa ia masih boleh mengawal dan boleh menentukan tetapi orang di sekeliling tahu dunia sedang runtuh dan ia harus dipisahkan dari realiti.