- Iklan -
Kolum

Covid-19: Malaysia di persimpangan getir

Sektor kesihatan boleh lumpuh dengan kenaikan kes Covid-19 dan keperluan bagi memastikan sebilangan besar rakyat dapat meneruskan aktiviti ekonomi untuk terus hidup.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Wabak Covid-19 adalah satu krisis dan Malaysia kini berada di persimpangan getir.

Kerajaan kini berdepan dengan sektor kesihatan yang boleh lumpuh dengan kenaikan kes Covid-19 dan keperluan bagi memastikan sebilangan besar rakyat dapat meneruskan aktiviti ekonomi untuk meneruskan kehidupan.

Apa yang dibimbangkan kerajaan bukannya mereka yang bekerja di sektor awam, tapi mereka yang bekerja di sektor swasta dan juga yang melaksanakan perniagaan kecil-kecilan.

Ini kerana mereka yang berada di sektor awam mempunyai sumber pendapatan mereka agak terjamin.

Sumber pendapatan pekerja dan majikan di sektor swasta akan terputus jika aktiviti ekonomi dipaksa berhenti kerana “total lockdown”.

Ini kerana banyak perniagaan swasta kini hidup bagaikan telur di hujung tanduk.

Ramai antara mereka tidak mampu mengharungi satu lagi “total lockdown” tanpa bantuan kerajaan.

Tapi perbelanjaan kerajaan pula tersekat kerana punca pendapatan negara terjejas teruk kerana Covid-19, ekoran kekurangan cukai pendapatan, perniagaan dan juga kutipan SST kerana daya membeli rakyat semakin kurang.

Masalahnya ialah membenarkan aktiviti-aktiviti ekonomi terus berjalan adalah punca kes Covid-19 terus berada pada paras yang tinggi.

Perkara ini diburukkan lagi oleh segelintir rakyat yang tidak mengambil berat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Wabak Covid-19 hanya memerlukan seorang pembawa bergelar manusia yang tidak berdisiplin dan tidak bergejala untuk mewujudkan satu kluster yang amat dahsyat.

Ini yang menyebabkan hospital dan ICU di seluruh negara penuh dengan pesakit Covid-19.

Kesimpulannya, sektor kesihatan negara amat memerlukan “total lockdown” namun sektor ekonomi negara pula dikhuatiri tidak dapat menampung kesannya.

Bersyukurlah kita kerana politik di”lockdown” oleh perintah darurat, jika tidak, negara bakal berdepan dengan krisis politik, yang berisiko menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan ketika Covid-19 mengganas dan menyebabkan wabak lebih mengganas.

Jadi, apakah ada jalan keluar bagi Malaysia?

Jika rakyat Malaysia terus meletakkan segala beban pada kerajaan, kita hanya akan menempah maut kerana apa yang boleh dilakukan kerajaan adalah terhad untuk melawan Covid-19 ini.

Rakyat perlu bersama memikul tanggungjawab bersama kerajaan untuk mengharungi krisis ini.

Menjadi hero komplen dan “troll” di media sosial tidak akan menyelamatkan kita daripada krisis Covid-19 ini.

Apa yang perlu dilakukan rakyat tidaklah susah.

Bagi mereka yang terpaksa bekerja, pakai pelitup muka sentiasa, jaga perjarakan sosial tanpa bersalam dan berpelukan dan elak makan dan berbual bersama di ruang tertutup meskipun bersama keluarga dan sahabat terdekat.

Bagi yang dapat bekerja dari rumah, mohon buat “self-lockdown.”