- Iklan -
Berita

Fahmi nafi beri arahan sekat laman sesawang

Menteri itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mempunyai kuasa untuk menyekat laman sesawang, sambil menambah bahawa suruhanjaya itu juga bertindak atas laporan polis.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini berkata beliau tidak terlibat dalam mengarahkan sekatan ke atas laman sesawang berita serta mereka yang mengkritik kerajaan, mengatakan pengawal selia internet yang diletakkan di bawah kementeriannya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sedemikian.

Ini berlaku selepas portal berita UtusanTV disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang terbaru dalam siri sekatan yang menyaksikan beberapa laman sesawang disekat akses melalui penyedia perkhidmatan internet (ISP) tempatan.

“Saya percaya media seharusnya bebas. Tetapi saya tidak memberi apa-apa arahan kepada SKMM untuk menyekat sesiapa, sama ada media (konvensional) atau media sosial. Tiada arahan dikeluarkan daripada saya atau pejabat saya.

“Sebagai contoh, kadang-kadang jika laporan polis atau aduan dibuat oleh orang ramai, SKMM mempunyai kuasanya sendiri dan ia boleh melakukannya (membuat sekatan). Kadang-kadang laporan juga datang daripada polis,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Fahmi berkata beliau masih belum menerima sebarang laporan berhubung isu itu dan akan meminta butiran lanjut daripada SKMM.

UtusanTV, portal hal ehwal semasa yang dikendalikan oleh bekas kakitangan Utusan Malaysia yang kini dibubarkan, tidak dapat diakses sejak Isnin, dengan beberapa pengguna melihat skrin memberitahu mereka bahawa ia disekat oleh SKMM.

Sekatan itu berlaku lebih sebulan selepas MalaysiaNow melaporkan bahawa portal berita itu disekat oleh beberapa ISP utama, walaupun tiada notis sedemikian daripada SKMM. 

Fahmi kemudiannya menafikan sebarang arahan terhadap sekatan itu, tetapi beliau dan SKMM hingga hari ini belum memberikan penjelasan walaupun ditanya berulang oleh MalaysiaNow. 

Laman sesawang lain yang disekat termasuk Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan Raja Petra Kamaruddin, dan blog yang dikendalikan oleh bekas Ahli Parlimen Wee Chee Keong beberapa bulan lepas. 

Wee memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar SKMM, yang akan didengar minggu depan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi