- Iklan -
Berita

Mahkamah diberitahu Najib bayar RM23 juta untuk pasukan media antarabangsa

Saksi itu berkata Najib merupakan satu-satunya pelanggan dalam syarikatnya dan setiap bulan beliau sendiri akan ke pejabat Najib untuk mendapatkan cek-cek itu.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1MDB. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1MDB. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Najib Razak membuat pembayaran hampir RM23 juta melalui 39 keping cek kepada syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd kerana menyediakan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepada bekas perdana menteri itu antara 2011 hingga 2014.

Pengarah syarikat itu, Mohd Omar Mustapha, 51, berkata pembayaran berjumlah RM22,981,688 diterimanya antara 3 Mac 2011 hingga 23 April 2014 kerana syarikat terbabit menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk penyediaan teks ucapan dalam bahasa Inggeris untuk Najib sama ada di dalam atau di luar negara.

"Ia juga bagi menyelaras segala urusan dengan pihak media antarabangsa yang berpusat di Malaysia, menyelaras temu duga Najib sewaktu lawatan ke luar negara dengan media antarabangsa dan menyediakan deraf temu duga atau artikel oleh Najib dalam majalah atau surat khabar dalam bahasa Inggeris," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Najib.

Menurut saksi pendakwaan ke-45 itu, urusan perkhidmatan syarikat tersebut kepada Najib bermula selepas timbulnya isu perkhidmatan oleh Apco Worldwide kepada kerajaan Malaysia yang pada 2010 pihak kerajaan telah membayar RM76.8 juta setahun kepada Apco. 

"Pembayaran ini telah dibuat oleh pihak kerajaan atas perkhidmatan PR Antarabangsa (Perhubungan Awam) yang telah diberikan oleh Apco antara Julai 2009 hingga Jun 2010. Pembayaran ini telah menjadi isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen dan saya difahamkan kontrak antara Apco dan kerajaan selepas itu tidak disambung. 
 
"Ekoran daripada isu tersebut, saya melihat terdapat peluang perniagaan di situ dan telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Apco di Malaysia pada masa itu, Paul Stadlen untuk bertanya sama ada beliau bersedia untuk keluar daripada Apco dan menyediakan perkhidmatan secara persendirian dan beliau bersetuju," katanya.

Omar berkata Apco antara syarikat PR antarabangsa terbesar di dunia yang beribu pejabat di Amerika Syarikat dan mempunyai cawangan di lebih 30 buah negara termasuk Malaysia. 

Saksi itu seterusnya berkata, beliau juga telah berjumpa dengan Najib di pejabat perdana menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepadanya. 

Menurut Omar, dalam perbincangan itu, beliau telah menawarkan perkhidmatan tersebut dan pembayaran berdasarkan tuntutan yang dikemukakannya setiap bulan kepada Najib. 

"Pada masa itu, Najib telah bersetuju dengan cadangan perkhidmatan tersebut. Saya tidak meminta sebarang kontrak ditandatangani untuk perkhidmatan ini dan beliau (Najib) juga tidak minta sebarang kontrak daripada saya. Urusan ini hanyalah melibatkan perjanjian lisan sahaja memandangkan isu ini kemungkinan besar boleh dipolitikkan. 

"Saya percaya Najib boleh mempercayai saya dalam urusan ini kerana saya pernah bekerja sebagai pegawai khas utamanya ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2005," katanya.

Ketika disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata Najib merupakan satu-satunya pelanggan dalam syarikatnya dan setiap bulan beliau sendiri akan ke pejabat Najib untuk mendapatkan cek-cek itu.

"Saya berjumpanya (Najib) setiap bulan dan saya berikan invois termasuk kos operasi dan beliau akan membuat pembayaran. Saya menerima pembayaran selama tiga tahun daripadanya tanpa disoal oleh pihak bank atau sebarang amaran daripada bank," katanya.

Sementara itu, ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, saksi itu berkata perkhidmatan yang diberikannya kepada Najib adalah bagi tujuan rasmi dan beliau tidak mengetahui sumber wang yang digunakan Najib untuk membayar syarikatnya.

Akram: Adakah kamu tahu dari akaun mana Najib bayar kepada kamu?

Omar: Saya hanya menerima bayaran melalui cek... setahu saya, beliau menandatangani cek tersebut secara peribadi, di hadapan saya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi diteruskan dengan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah memberi keterangan.