- Iklan -
Berita

Rafizi nafi PKR tawar PAS sertai kerajaan campuran

Timbalan presiden PKR itu berkata beliau tidak pernah mendengar sebarang tawaran.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. Gambar: Bernama

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa PKR ada menawarkan parti itu untuk menyertai kerajaan campuran.

Sebaliknya, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata pihaknya juga tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan beliau terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas.

"Saya tak pernah dengar (dakwaan PAS ditawarkan masuk Kerajaan Perpaduan) (sedangkan) saya adalah antara tiga individu dalam PKR yang banyak merundingkan pembentukan kerajaan selain (Presiden PKR) Anwar Ibrahim dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya tidak tahu ini cerita zaman bila tapi saya boleh bagi tahu, sepanjang saya terlibat dalam pembentukan kerajaan, saya tidak tahu langsung tentang perkara ini (tawaran), kecualilah ada sesiapa yang lain (yang buat tawaran)," katanya kepada pemberita di Iskandar Puteri semalam.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di Iskandar Puteri semalam.

Kelmarin, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata pernah dihubungi beberapa kali oleh “orang tertentu” yang didakwa menawarkan PAS menyertai kerajaan campuran.