- Iklan -
Berita

Anwar umum peruntukan RM386.14 bilion untuk Belanjawan 2023

Lebih RM14 bilion berbanding belanjawan yang dibentangkan pendahulunya, Tengku Zafrul Aziz.

MalaysiaNow
6 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2023, 24 Februari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2023, 24 Februari.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan pertama kerajaan campuran dengan peruntukan lebih besar berjumlah RM386.1 bilion melepasi RM 372.3 bilion yang dicadangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lepas, dalam usaha menangani pertumbuhan ekonomi  perlahan dan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.

Ucapan belanjawan Anwar hari ini juga menandakan yang pertama sejak 1997, setahun sebelum pemecatan dramatiknya oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, yang kemudiannya mengambil alih portfolio kewangan untuk melaksanakan langkah-langkah yang meluas dan bukan konvensional dalam menghadapi krisis kewangan Asia.

Belanjawan hari ini, yang bertemakan slogan Membangun Malaysia Madani, juga melihat peruntukan sebanyak 289.1 bilion ringgit untuk belanja mengurus, 99 bilion ringgit bagi belanja pembangunan dan termasuk 2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

Pembentangan Belanjawan 2023 itu menyaksikan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai penerima peruntukan terbesar melibatkan sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun lalu.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, Anwar berkata sejumlah RM 2.3 bilion akan disediakan untuk memastikan infrastruktur dan fasiliti sekolah melibatkan kos RM920 juta untuk naik taraf di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak. 

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi penerima peruntukan kedua terbesar sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun lalu.

Ini meliputi peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baru secara tetap dan kontrak melibatkan lebih 1500 pegawai perubatan, pergigian dan pegawai farmasi.

Perkara utama lain adalah seperti berikut: 

- Defisit fiskal 2023 dikurangkan daripada 5.6% pada 2022 kepada 5%.

- Rang undang-undang tanggungjawab fiskal akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

- Pengagihan dividen Amanah Saham Bumiputera yang lebih besar untuk mereka yang memerlukan.

- Tarif elektrik dikekalkan untuk pengguna domestik dan PKS tetapi dinaikkan untuk syarikat besar tidak termasuk sektor makanan dan pertanian.

- Belum ada keputusan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan. 

- Merancang untuk memperkenalkan cukai barang mewah tahun ini dengan had nilai mengikut jenis barang antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen.

- Kemungkinan memperkenalkan cukai keuntungan modal untuk pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat dari 2024 pada kadar yang rendah.

- Merancang untuk mengenakan duti eksais pada produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan peranti vape.

- Sokongan untuk inisiatif akhir permainan generasi dengan separuh daripada hasil daripada duti eksais akan diperuntukkan kepada kementerian kesihatan.

- Kadar cukai ke atas pendapatan bercukai untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk 150 ribu pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15%, bermula tahun taksiran 2023.

- Peruntukan RM50 juta untuk pembinaan dan naik taraf 3,000 gerai dan kiosk untuk penjaja kecil.

- RM176 juta untuk menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan di bawah Mara, DBKL, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dan Perbadanan Pembangunan Bandar. 

- Kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion. 

- Hampir RM10 bilion dana pinjaman untuk PKS yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia. 

- Enam projek tebatan banjir akan dibentangkan semula menjelang Jun 2023. 

- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga 2023 untuk menggariskan hala tuju pembangunan perindustrian, memberi tumpuan kepada aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan. 

- Tun Razak Exchange diberi mandat sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia.

- Merancang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini.

- Peruntukan RM1.2 bilion untuk menyiapkan pembaikan 400 klinik dan 380 sekolah dalam keadaan usang. 

- RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.

- RM1.5 bilion untuk menaik taraf dan membina jalan luar bandar baharu. 

- Penubuhan pasukan petugas khas mengenai pembaharuan agensi, dipengerusikan oleh ketua setiausaha.

- RM10 juta untuk mengukuhkan peranan Pusat Tindak balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui geran pengoperasian.

- Bank Negara Malaysia akan menguatkuasakan dasar "kill switch" untuk semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna segera membekukan akaun termasuk kad ATM sekiranya berlaku aktiviti yang mencurigakan.

- Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 bagi membolehkan kes kebankrapan dilepaskan secara automatik dalam tempoh yang singkat.

- Kes melibatkan hutang kurang daripada RM50,000 yang memenuhi syarat yang diperlukan untuk dibebaskan dengan segera mulai 1 Mac.

- Perkeso akan memberi insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan selain daripada gaji yang ditawarkan, melalui peruntukan RM45 juta.

- Insentif Perkeso selanjutnya untuk majikan yang menggaji pekerja daripada kumpulan lemah seperti orang kurang upaya, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar, sehingga RM600 sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.

- Kerajaan akan menampung yuran latihan sehingga RM4,000 untuk pekerja gig mendaftar dalam program peningkatan kemahiran kelayakan mikro.

- Perkeso sediakan elaun RM300 selama tiga bulan bagi menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan menjalani program latihan.

- Geran padanan RM50 juta untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan AI yang boleh menggaji pekerja tempatan mahir. 

- RM80 juta untuk meningkatkan kemampanan industri minyak sawit dan mempergiatkan kempen untuk menangani sentimen anti-minyak sawit.

- RM250 juta untuk mempromosikan sektor pelancongan. 

- RM725 juta untuk melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah.

- RM50 juta diperuntukkan kepada Melaka dan Pulau Pinang untuk memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh Unesco.

- RM750 juta untuk kementerian ekonomi melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat bagi memperkasa golongan miskin meningkatkan potensi pendapatan mereka.

- Bantuan dan kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah diberikan secara bulanan dan bukannya sekali gus.

- RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga, bantuan kewangan dan penyediaan perkhidmatan.

- RM100 juta untuk inisiatif Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas pada harga sehingga 30% kurang daripada kadar pasaran.

- Di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,500 layak menerima sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak. 

- Tambahan RM600 untuk penerima isi rumah termiskin di bawah STR, menurut data e-Kasih, akan diagihkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar untuk item makanan asas.

- Kredit e-Tunai Belia Rahmah RM200 untuk dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun, membabitkan jumlah peruntukan RM400 juta. 

- Bernas akan berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30% daripada keuntungan bersih kepada pesawah selain sumbangan RM60 juta yang disediakan.

- Kadar cukai pendapatan individu untuk pemastautin dikurangkan sebanyak 2% bagi setiap kumpulan pendapatan daripada lebih RM35,000 kepada RM100,000.

 - Kerajaan akan meningkatkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi daripada 0.5% kepada 2% bagi setiap kumpulan pendapatan melebihi RM100,000 hingga RM1 juta, dalam langkah yang dijangka menjejaskan kurang daripada 150,000 pembayar cukai.

- RM30 juta untuk kerjasama dengan beberapa kerajaan negeri bagi pelaksanaan projek agromakanan.

- Peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

- Lebih RM2.5 bilion untuk melaksanakan projek infrastruktur awam untuk Sabah dan Sarawak yang melibatkan lampu jalan dan bekalan air dan elektrik.

- Hampir RM4.1 bilion untuk penyelenggaraan dan pembelian aset untuk Angkatan Tentera Malaysia. 

- Hampir RM1 bilion untuk agensi di bawah kementerian dalam negeri memperkukuh keselamatan dalam negeri termasuk melalui pemerolehan lebih 2,100 kamera badan polis. 

- Lebih RM500 juta untuk penyelenggaraan kuarters angkatan tentera dan pemulihan kuarters kediaman dan institusi di bawah kementerian pertahanan.

- RM20 juta untuk program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti. 

- RM5 juta untuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan dan potongan cukai bagi majikan yang menggaji bekas atlet negara. 

- RM25 juta untuk aktiviti kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti. 

- RM2.3 bilion untuk infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di sekolah. 

- RM777 juta untuk penyediaan makanan untuk pelajar di bawah Rancangan Makanan Tambahan. 

- 50,000 komputer riba untuk sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian pendidikan.

- RM3 bilion untuk pelantikan tetap dan kontrak baharu bagi lebih 1,500 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

- RM120 juta untuk Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan di klinik dan pengamal am swasta.

- Peningkatan had pelepasan cukai untuk perbelanjaan rawatan perubatan daripada RM8,000 ke RM10,000.

- RM50 juta untuk Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan persekitaran selamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan keutamaan menggantikan lif usang.

- RM367 juta untuk projek PPR baharu dijangka memanfaatkan 12,400 penduduk.

- Pengecualian duti setem untuk pemilik rumah pertama dengan pengecualian sepenuhnya duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah dan pengecualian 75% untuk rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta ringgit.

- Kerajaan akan menambah caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 untuk ahli yang berumur antara 40 dan 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang 10 ribu ringgit di dalam Akaun 1, melibatkan peruntukan hamppir RM1 bilion.

- Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain RM350 kepada pesara kerajaan.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.