- Iklan -
Berita

PN kecam kerajaan sekat kebebasan bersuara susulan intimidasi terhadap pengguna TikTok

PH langgar janji sendiri untuk tidak ambil tindakan terhadap pengkritik kerajaan, kata pemuda PN.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari (tengah) ketika sidang media di Parlimen, 14 Februari.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari (tengah) ketika sidang media di Parlimen, 14 Februari.

Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengecam kerajaan kerana aktif mengambil tindakan terhadap pemilik akaun TikTok dan mendakwa langkah ini sebagai usaha menyekat kebebasan bersuara.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan ini bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dinyatakan dalam perkara ke 17 apabila mengemukakan janji untuk menjamin kebebasan bersuara dan tidak akan mengenakan undang-undang terhadap individu yang mengkritik kerajaan.

Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keadaan sebaliknya yang berlaku apabila kritikan dan perkara yang diutarakan anak muda yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan pula dianggap sebagai fitnah.

"Kami mengecam tindakan intimidasi atau provokasi yang telah dilakukan pihak kerajaan kepada terutamanya TikTokers  dalam kalangan anak muda yang dikatakan menyebarkan bahan-bahan fitnah terhadap kerajaan sedangkan itu hanyalah salah satu elemen kebebasan bersuara," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH berjanji untuk menjamin hak kebebasan media dan hak bersuara yang mana terdapat empat pendekatan yang akan dilakukan.

Salah satunya ialah "Memansuhkan Akta Zalim" dengan menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta yang boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut Fadhli, tindakan terhadap pemilik akaun media sosial juga didakwa semakin berleluasa apabila notis terbaru dikeluarkan kepada seorang lelaki apabila beliau diminta hadir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membantu siasatan.

"Ini dikira sebagai tindakan satu usaha untuk menyekat kebebasan bersuara anak-anak muda.

"Jadi saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, adakah pihak kerajaan hari ini sedang menyekat kebebasan bersuara anak muda yang telah diperjuangkan PH sendiri dalam manifesto?" soal beliau.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata, sekiranya kerajaan terus mengambil tindakan ini, anak-anak muda diseru supaya jangan menghentikan usaha mengkritik kerajaan dan menyuarakan suara yang dijamin dalam hak demokrasi.