- Iklan -
Berita

Susu bakal naik harga selepas cukai gula dilaksanakan

Menurut pengilang, Kementerian Kewangan sehingga sekarang masih belum mengecualikan produk susu untuk dewasa termasuk suplemen ibu mengandung.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Kebimbangan dibangkitkan mengenai kemungkinan kenaikan harga susu suplemen untuk ibu hamil dan ibu menyusu selepas pelaksanaan cukai minuman gula.
Kebimbangan dibangkitkan mengenai kemungkinan kenaikan harga susu suplemen untuk ibu hamil dan ibu menyusu selepas pelaksanaan cukai minuman gula.

Susu suplemen ibu hamil dan ibu menyusu antara produk yang dijangka menyaksikan kenaikan harga sekiranya kerajaan meneruskan pelaksanaan cukai minuman gula (SSB) yang sedang dalam proses rundingan dilaksanakan, kata pemain industri.

Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, Kementerian Kewangan sehingga sekarang masih belum mengecualikan produk susu untuk dewasa termasuk suplemen ibu mengandung.

"Dengan kadar inflasi yang sedang meningkat, mengenakan duti eksais terhadap makanan dan minum terpilih tidak hanya meningkatkan harga kepada barangan yang sangat diperlukan bagi kumpulan berpendapatan rendah, bahkan ia bakal menghakis kuasa beli untuk produk makanan," katanya kepada MalaysiaNow.

Setakat ini, hanya susu formula bayi yang dikecualikan daripada cukai tersebut.

Katanya, faktor penawaran dan bekalan juga akan memainkan peranan terhadap turun naik harga kedua-dua produk susu itu.

Semakan di laman iprice.my mendapati, harga susu ibu hamil ialah sekitar RM38 hingga RM70, bergantung kepada jenama dan sukatan.

Manakala susu ibu menyusu berharga antara RM34 hingga RM86.

Cukai SSB diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan diperluaskan untuk memasukan produk pracampuran berasaskan koko dan coklat.

Ia sepatutnya dikuatkuasakan pada 2 April 2022 namun ditangguhkan sebanyak dua kali, iaitu pada 1 November 2022 dan 1 Januari 2023.

Menurut Soh, duti eksais yang dikenakan meliputi pelbagai produk termasuk serbuk susu dan produk makanan diet yang diformulasikan.

"FMM juga meminta kementerian kesihatan dan kementerian kewangan untuk mengkaji cukai terhadap produk bukan pracampuran yang tidak wajar dimasukkan dalam skop cukai," katanya.

Persatuan wanita turut menghantar surat meminta susu ibu hamil dan susu ibu menyusu dikecualikan daripada cukai tersebut.

Dalam satu surat yang dilihat MalaysiaNow, Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur & Selangor (KLSCWO) meminta kementerian kewangan mengecualikan kedua-dua produk itu daripada dikenakan cukai.

"Kami berpendapat bahawa peningkatan harga dari cukai ini bakal membebankan golongan wanita yang memerlukan susu tersebut untuk membantu mereka dalam fasa kehamilan, penjagaan dan penyusuan bayi lebih-lebih lagi ibu-ibu dari golongan B40 dan yang berpendapatan sederhana," menurut surat yang bertarikh November 2022.

Soh dalam pada itu berkata, Jabatan Kastam Diraja yang bertanggungjawab menyelia cukai itu masih belum menyediakan senarai produk yang akan dikecualikan daripada duti eksais itu.

FMM juga menggesa kerajaan merunding perkara itu dengan pihak industri segera, memandangkan pelaksanaan cukai memberikan impak terhadap operasi pembuatan dan rantaian bekalan.

Katanya, walaupun FMM memahami dan menyokong usaha mengawal obesiti, negara memerlukan pendekatan holistik terhadap memperbaiki diet, meningkatkan aktiviti fizikal dan kesedaran sebagai langkah terbaik dalam membawa perubahan, berbanding cukai SSB itu.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.