- Iklan -
Berita

Tiada apa perlu disembunyikan, kata Muhyiddin

Beliau berkata SPRM mengetahui jumlah wang dalam Bersatu sebelum dan selepas arahan pembekuan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan partinya menerima berbilion ringgit yang dikaitkan dengan pakej rangsangan Covid-19, dan melahirkan keyakinan ia akan dibuktikan dengan hasil siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Saya percaya siasatan akaun Bersatu (akan mendapati) tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun parti. Kalau ada, pelik. Kaya raya kita. Tapi tak ada.

"Kita serahkan akaun diaudit yang dibentangkan dalam perhimpunan agung. Tidak ada perkara luar biasa," katanya kepada pemberita hari ini selepas permukiman bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata SPRM mengetahui jumlah wang dalam Bersatu sebelum dan selepas arahan pembekuan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan membekukan beberapa akaun bank milik parti Bersatu bagi tujuan membantu siasatan penyelewengan dana.

Bagaimanapun, Azam dilaporkan menafikan siasatan itu dikaitkan dengan dakwaan m parti itu mendapat manfaat daripada penyelewengan dana pakej rangsangan Covid-19.

Bersatu didakwa menggunakan kira-kira RM600 bilion dana daripada pakej rangsangan Covid-19 sewaktu kempen pilihan raya umum tahun lepas.

Dakwaan itu diulangi oleh Anwar, yang kemudiannya berkata terdapat "berpuluh bilion" diperuntukkan kerajaan terdahulu yang didapati melanggar prosedur.

Muhyiddin berkata transaksi Bersatu adalah telus, sambil menambah ia akan dibuktikan melalui penyata kewangan dan dokumen lain yang diserahkan kepada SPRM.

“Dasar yang ditetapkan oleh Bersatu setiap sumbangan pada parti mesti dimasukkan ke akaun parti.

“Tiada sumbangan dana politik masuk akaun peribadi saya atau pegawai dalam parti saya atau organisasi yang mempunyai kepentingan,” kata Muhyiddin, merujuk kepada pendedahan berbilion ringgit wang yang didepositkan ke akaun peribadi bekas presiden Umno Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu mendakwa wang tersebut adalah derma untuk parti.

Muhyiddin berkata Bersatu sudah memohon kepada SPRM untuk membatalkan perintah pembekuan itu, sambil menambah parti itu berdepan kesukaran untuk membayar kos pentadbiran harian.