- Iklan -
Berita

Kes harian Covid-19 bawah 500 sejak pembukaan sempadan China

Dr Zaliha Mustafa berkata pelaporan kes harian Covid-19 kekal tiga digit sejak 17 Disember tahun lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelancong asing termasuk dari China beratur di balai ketibaan KLIA di Sepang. Gambar: Bernama
Pelancong asing termasuk dari China beratur di balai ketibaan KLIA di Sepang. Gambar: Bernama

Kes harian Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia kekal di bawah 500 kes sejak pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari lepas, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaporan kes harian Covid-19 kekal tiga digit sejak 17 Disember lepas (2022).

Beliau berkata berdasarkan laporan, sejumlah 28,705 pengembara dari China dilaporkan tiba di Malaysia sejak 8 Januari hingga 17 Januari lepas.

Setakat ini, katanya hanya seorang daripada pengembara tersebut dikesan mengalami demam semasa saringan namun ujian RTK-Ag yang dijalankan terhadap pengembara tersebut adalah negatif.

"Tiada pengembara dari China yang dikesan positif Covid-19 di pintu masuk antarabangsa negara setakat ini," katanya. 

Sementara itu, Dr Zaliha berkata berlaku peningkatan tren dalam pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan di seluruh negara sejak dua minggu lepas.

Berbanding 1 Januari 2023, pengambilan dos penggalak pertama meningkat daripada 49.8% atau 16,279,746 dos kepada 49.9% iaitu sebanyak 16,292,524 dos, manakala dos penggalak kedua meningkat iaitu sebanyak 2.2% atau 733,668 dos berbanding 1.9% atau 633,941 dos.

Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kerjasama bersama negara ASEAN dan juga China.

"KKM akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.