- Iklan -
Berita

Masa depan KJ masih kabur dalam Umno

Penganalisis berpendapat bekas menteri kesihatan itu hanya perlu menunggu masa dan mengekalkan imejnya sebagai seorang 'reformis Umno'.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Masa depan dan perjalanan politik Khairy Jamaluddin dalam Umno masih kabur selepas parti itu menetapkan tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi sekali gus merencatkan usahanya mengembalikan parti itu ke "pangkal jalan".

Pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy menggelar dirinya sebagai “reformis Umno”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat" dan perlu kembali ke pangkal jalan.

Atas sebab itu, beliau mahu mengembalikan Umno supaya menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti suatu ketika dulu.

Bagaimanapun, hasrat Khairy dilihat "tertangguh" apabila dikalahkan oleh calon PKR, Ramanan Ramakrishnan di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15, November lalu.

Nama Khairy sering disebut-sebut oleh ahli akar umbi Umno yang percaya beliau sudah pasti akan mencapai cita-citanya bermula dengan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti yang bakal berlangsung pada Jun ini.

Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, dilema karier politik Khairy berlaku apabila bekas menteri kesihatan itu hanya popular secara meluas di luar Umno sebagai seorang reformis.

Tetapi secara realitinya, beliau sangat tidak popular atau diterima dalam Umno kerana dilihat sebagai seorang yang boleh mengganggu gugat kepentingan pemegang-pemegang jawatan utama dalam parti.

"Jadi walaupun ada pertandingan untuk kepimpinan tertinggi parti dan dia bertanding berkemungkinan dia nak menang, sukar," katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 2018, Khairy melawan Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan presiden pada pemilihan Umno, namun gagal merebut jawatan itu selepas hanya menerima 61 undi dari 191 perwakilan Umno bahagian.

Khairy dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang tidak sehaluan dengan Zahid dinamakan sebagai calon di Sungai Buloh selepas diminta mengosongkan kerusinya di Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi itu.

Pada 8 November, Khairy menyatakan hasrat beliau pertama kali untuk menjadi perdana menteri di hadapan pengundi Sungai Buloh dalam ceramah kempennya di Taman Saujana Utama.

Kenyataan tersebut mengundang kritikan apabila ramai pihak membidas Khairy mempunyai cita-cita seperti Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang disebut-sebut tidak pernah berputus asa untuk diangkat menjadi perdana menteri.

Masih relevankah Khairy dalam Umno?

Selepas kekalahan pada PRU15 baru-baru ini, Khairy berada di tempat yang paling "sempit" dalam Umno apabila tidak lagi bergelar ahli Parlimen, tiada jawatan dalam kerajaan dan juga tidak mempunyai peranan penting dalam parti.

Dalam pada itu, pemerhati politik dari UiTM Seremban, Mazlan Che Soh berkata Khairy masih boleh memainkan peranannya dan kekal relevan dengan membawa imej "reformis" selagi dirinya mampu konsisten dalam setiap apa yang beliau lakukan.

Pertama, kata Mazlan, Khairy mesti terus bersuara tetapi menggunakan saluran parti yang sesuai sebagai wadah kepadanya untuk terus berfungsi dan berperanan.

"Lagi pun pemilihan hanya tiada untuk dua jawatan tertinggi.

"Jawatan-jawatan lain seperti MKT masih dipertandingkan bahkan naib presiden.

"Beliau boleh mencuba nasib di situ nanti," katanya.

Ketika ditanya adalah Khairy mempunyai peluang cerah pada pemilihan Umno akan datang, Mazlan menegaskan beliau wajar bertanding dan mengambil bahagian pada Jun nanti.

Ini bagi membolehkan Khairy terus berperanan secara efektif sekurang-kurangnya sebagai ahli majlis kerja tertinggi (MKT) parti.

Pada masa sama, Oh senada dengan Mazlan.

Menurut Oh, Khairy hanya perlu bermain dengan masa iaitu menunggu sambil menjaga imej reformisnya itu.

"Sehingga tiba satu masa majoriti ahli mahukan parti itu keluar daripada sikap atau sejarah lamanya."