- Iklan -
Berita

Bicara kes rasuah Zahid ditunda ke April

Hakim Collin Lawrence Sequerah turut menetapkan beberapa tarikh perbicaraan hingga Ogos.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamad Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari. Gambar: Bernama.
Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamad Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari. Gambar: Bernama.

Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh tersebut pada sebutan kes itu yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Toran dan peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Zahid.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 10 hingga 13 April, 15-18 Mei, 12-15 Jun, 24-27 Julai dan Ogos iaitu pada 1-3, 7-10 dan 21-24.

Terdahulu, Raja Rozela memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan terdapat penambahan tarikh baharu.

“Tarikh (tambahan) yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah 12 hingga 15 Jun dan 24 hingga 27 Julai disusuli pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24 Ogos, jadi tarikh yang ditetapkan pada bulan April dan Mei dikekalkan,” kata Raja Rozela.

Hisyam kemudian mengesahkan perkara berkenaan pada prosiding membela diri kes timbalan perdana menteri itu.

Zahid, 70, yang memakai sut berwarna hitam tiba di mahkamah pada 8.45 pagi.

Setakat ini pihak pembelaan memanggil enam saksi termasuk Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah itu menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.