- Iklan -
Berita

Perwakilan tentukan ada atau tak pertandingan jawatan presiden, kata Zahid

Zahid sebelum ini dilaporkan terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan nanti, yang perlu diadakan sebelum 19 Mei ini.

Zahid berkata pelbagai pandangan dilontarkan berhubung pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden, namun beliau yakin perwakilan Umno sudah cukup matang untuk membuat penilaian sesuai dengan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan. Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. 

“Namun, saya yakin ahli-ahli Umno boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ori (tulen) yang mana fake (palsu),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri dan menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum ini dilaporkan terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang. 

Zahid berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Pada pemilihan yang diadakan pada 2018, Zahid dipilih sebagai Presiden setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah, dengan memperoleh 93 undi berbanding Khairy (51) dan Tengku Razaleigh (23).

Pada Mei tahun lepas, Umno meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya. 

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan berkaitan perlembagaan Umno itu dengan sedikit pindaan, berkuat kuasa 29 Julai 2022.