- Iklan -
Berita

‘Optik, kosmetik’ kerajaan Anwar akan makan diri jika pencapaian lemah

Pakar komunikasi berkata imej yang dibawa Anwar Ibrahim ketika ini adalah sebagai seorang perdana menteri berbanding imejnya sebagai ketua pembangkang sebelum ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi

Seorang pakar komunikasi memberi amaran bahawa langkah diambil pasukan perhubungan awam Anwar Ibrahim sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri mungkin bakal memakan diri pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu jika beliau gagal memenuhi gambaran yang ditunjukkan kepada rakyat.

Bermula beberapa jam selepas mengangkat sumpah 24 November lalu, beliau dilihat menjawab telefon presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika memulakan sidang media pertamanya sebagai perdana menteri dan perbualan itu didengarkan kepada umum.

Gambar fail kerja bertimbun di atas meja, selain bekerja pada hujung minggu turut dijadikan bahan-bahan optik daripada pejabatnya.

Pasukan komunikasi Pakatan Harapan (PH) juga bekerja keras untuk menaikkan imej Anwar yang juga pengerusi gabungan itu di internet.

Pakar komunikasi Syed Arabi Syed Abdullah Idid berkata, usaha itu perlu dilakukan kerana nama Anwar selama dua dekad sebelum ini adalah sebagai ketua pembangkang.

"Apabila beliau jadi perdana menteri, beliau kena pancar imej sebagai perdana menteri, yang berbeza dengan imej ketua pembangkang,” kata profesor komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang banyak mengkaji kempen politik merangkumi beberapa pilihan raya umum kepada MalaysiaNow.

"Beliau perlu tunjuk bahawa beliau ialah 'man of authority' yang prihatin kepada rakyat dan tidak kekok dengan sultan-sultan, selain penjawat awam.”

Namun katanya, meskipun usaha publisiti itu ada impaknya, namun dalam masa enam bulan selepas pembentukan kerajaan, Anwar perlu kemukakan bukti pencapaian.

"Ujian sebenar datang apabila beliau membentangkan belanjawan.

Apakah ia akan jadi belanjawan yang lebih baik daripada yang dikemukakan Ismail Sabri Yaakob?” soalnya.

Anwar yang juga menteri kewangan dijadualkan membentang Belanjawan 2023 pada Februari ini selepas membentangkan Mini Bajet 2023 pada bulan lalu.

Katanya, imej-imej yang bertujuan menunjukkan Anwar bekerja keras mungkin dikeluarkan untuk menangkis kritikan Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini menyatakan keraguan beliau terhadap keupayaan presiden PKR itu untuk memimpin negara.

Syed Arabi yang merupakan ahli World Public Opinion Research Association berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat Anwar memang dibuat untuk mendapatkan perhatian dan menjadi tajuk akhbar.

Namun dalam jangka masa panjang, beliau perlu berhati-hati kerana kenyataan perdana menteri membawa implikasi kepada negara.

"Para pegundi sekarang akan bertanya apa impak kenyataan kamu? Mereka mahu melihat program-progran kamu dan perlaksanaannya. Itu kita tunggu," katanya.

Pasukan komunikasi PH juga tidak lupa untuk membesarkan langkah-langkah yang diambil Anwar, meskipun ia sama seperti langkah yang diambil perdana menteri sebelum ini.

Contohnya, bantuan banjir yang diumumkan Anwar, serta pembatalan sambutan tahun baru bagi menghormati mangsa banjir.

Ia turut dibuat oleh Ismail Sabri Yaakob dengan jumlah bantuan yang lebih besar, namun bekas perdana menteri itu tidak terlepas daripada menerima kecaman terutamanya daripada kalangan penyokong PH.

Gambar Ismail memotong kek semasa program Umno dan insiden konvoinya menghentikan sebuah ambulans menenggelamkan pengumuman dan inisiatif yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bera itu.

Menurut Syed Arabi, penggunaan media sosial oleh pasukan komunikasi Anwar dilihat lebih baik berbanding Ismail.

"Ismail kelihatan tidak mempunyai sokongan daripada Kabinetnya sendiri. Beliau buat kenyataan, tapi sokongan daripada rakan-rakannya tiada.

"Tidak nampak Kabinet itu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Namun, jangkaan dan harapan besar yang telah ditanam oleh PH juga menjadi cabaran buat Anwar.

"Ini kerana jika beliau dan Kabinet tidak memenuhi jangkaan itu, ia bakal memakan diri.

"Ini yang berlaku pada PH 1.0," menurut Syed Arabi merujuk kepada pentadbiran kali pertama gabungan itu pada 2018 yang diketuai oleh Mahathir.