Bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara mengemukakan petisyen kepada Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Sewenang-wenang (UNWGAD), dalam usaha memohon pembebasan atau perbicaraan semula, menyifatkan perbicaraan rayuan Mahkamah Persekutuan tahun lepas "mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa".
Peguamnya Muhammad Shafee Abdullah berkata Najib memohon panel UNWGAD, yang terdiri daripada lima pakar keadilan antarabangsa, memutuskan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya pada 23 Ogos 2022, adalah tidak adil dan cacat, serta melanggar hak asasi dan Perlembagaan Persekutuan.
“Prosiding Mahkamah Persekutuan gagal memberinya peluang yang munasabah untuk menghujahkan kes dan tidak memberi masa yang cukup kepada peguamnya untuk menyediakan hujahan.
“Mahkamah tidak membenarkan pasukan pembelaannya untuk menyerahkan penghujahan dalam rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun.
“Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan,” kata Shafee pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Najib disabitkan bersalah pada Julai 2020 oleh hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali atas pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.
Sabitan itu dikekalkan oleh kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Peguam bekas pemimpin itu menuduh hakim Nazlan mempunyai konflik kepentingan kerana pernah terlibat dengan Maybank.
Bagaimanapun, hujah itu ditolak oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel hakim dalam rayuan terakhir Najib di Mahkamah Persekutuan.
Shafee berkata pada hari-hari terakhir perbicaraan rayuan Najib, di mana bekas perdana menteri itu menggugurkan dan menggantikan seluruh pasukan pembelanya, boleh dianggap sebagai "keputusan pengadilan yang tergesa-gesa" kerana peguamnya tidak diberi masa yang diperlukan untuk menyemak kertas rayuan.
Shafee berkata walaupun sebarang keputusan UNWGAD tiada kuasa secara terus, namun beliau berkata, ia akan "sangat berpengaruh" ketika Malaysia sendiri mempunyai seorang ahli perundangan yang kini menjadi ahli kumpulan kerja itu.
“Mereka tidak akan dipanggil untuk memutuskan sama ada Najib bersalah, tetapi untuk menentukan sama ada perbicaraannya adil.
"Jika tidak, mereka boleh menggesa kerajaan untuk membebaskan beliau atau menjalankan perbicaraan semula," katanya.
Beliau turut menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri adalah penyokong UNWGAD, dan menyifatkan pendapat badan itu sebagai "pencapaian penting dalam perjalanan saya menuju kebebasan", Shafee berkata Najib juga menyuarakan harapan supaya kerajaan mematuhi keputusan panel itu sebaik sahaja ia tersedia
Pada 2015, UNWGAD menyifatkan hukuman penjara terhadap Anwar atas sabitan liwat sebagai "pemenjaraan sewenang-wenangnya dan tidak sah", menggesa kerajaan Malaysia membebaskan beliau dengan segera.
Putrajaya kemudiannya menyifatkan gesaan tersebut sebagai tidak berasas, dan menjelaskan l pemenjaraan Anwar bukan bersifat politik, selain turut menambah beliau juga diberi layanan yang sama seperti banduan lain.
"Selepas perbicaraan yang adil dan panjang selama enam tahun setengah, beliau disabitkan atas kesalahan itu.
“Anwar kini sedang menjalani hukuman di penjara, bukan pengasingan, dan sedang diberikan kemudahan dan rawatan perubatan yang sewajarnya.
"Oleh itu, pendapat UNWGAD yang menggesa agar Anwar dibebaskan segera adalah tidak berasas," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.