- Iklan -
Berita

Di sebalik langkah PN melantik Hamzah sebagai ketua pembangkang

Penganalisis berkata wujud strategi di sebalik keputusan Perikatan Nasional memberikan peranan penting di Dewan Rakyat kepada setiausaha agungnya berbanding pemimpin utamanya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Hamzah Zainudin berbahas sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 19 Disember 2022. Gambar: Bernama
Hamzah Zainudin berbahas sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 19 Disember 2022. Gambar: Bernama

Walaupun secara kebiasaannya, peranan ketua pembangkang di Parlimen dipegang oleh pemimpin gabungan yang mempunyai status lebih kurang sama dengan perdana menteri, seorang penganalisis berkata ada sebab mengapa Perikatan Nasional (PN) melantik Hamzah Zainudin bagi jawatan itu.

Hamzah berkhidmat sebagai menteri dalam negeri di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, namun jawatannya dalam hierarki gabungan itu masih dilihat agak rendah sebagai setiausaha agung.

Tradisi biasa yang dipecahkan dalam pelantikan ketua pembangkang di Dewan Rakyat itu turut disuarakan oleh orang ramai di media sosial di mana mereka berkata calon yang lebih layak adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang atau Muhyiddin sendiri selaku pengerusi PN.

Ada juga yang mempersoalkan pelantikan Hamzah kerana beliau merupakan ahli Bersatu berbanding ahli Parlimen dari PAS yang memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Bagaimanapun, Anis Anwar Suhaimi yang juga ketua penyelidik O2 Research Malaysia berkata, PN dilihat menumpuksn usaha mengukuhkan pengaruhnya di luar Parlimen.

Katanya, di Dewan Rakyat, jawatan ketua pembangkang boleh diberikan kepada individu yang mempunyai pengalaman bagi mengetuai ahli Parlimen PN, selain perwatakan yang agresif dalam melaksanakan semak dan imbang terhadap blok kerajaan.

“Justeru, perwatakan Hamzah Zainuddin antara pilihan yang sesuai untuk mengisi peranan tersebut.”

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir turut senada dengan Anis mengatakan ahli Parlimen Larut itu dilantik mengetuai 74 ahli Parlimen PN kerana potensi dan kebolehan yang dibawanya sepanjang berkecimpung dalam arena politik tanah air.

Atas sebab itu katanya, PN nampak keupayaan Hamzah untuk berhujah dengan kredibiliti yang dimilikinya. 

"Kita kena sedar mungkin mereka (PN) lebih yakin dengan keupayaan Hamzah sebagai setiausaha agung untuk bertindak sebagai perbicara atau jurucakap utama parti itu.

"Apatah lagi hubungan Hamzah dengan Pakatan Harapan (PH) tidak begitu baik. Kita boleh tengok ini pada hujah pertamanya di Dewan Rakyat apabila dia ‘menyerang’ Anwar walaupun seolah-olah dia profesional seperti dia minta Anwar ambil tindakan saman akhbar antarabangsa yang kata dia homoseksual. 

"Walhal dia sebenarnya nak cemarkan imej PM. Jadi ada semacam balas dendam di situ, kemarahan yang gelora diledakkan di Dewan Rakyat," katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada gesaan Hamzah supaya Anwar menyaman laporan akhbar antarabangsa yang menggelar perdana menteri sebagai "homoseksual tegar" atau "full-Brown homosexual". 

Menurut Jeniri, disebabkan keberanian dan kelantangan Hamzah dalam berbicara maka tidak dapat dinafikan beliau lebih layak untuk jadi ketua pembangkang berbanding Muhyiddin atau sesiapa daripada PAS.

Dalam pada itu, Anis memberitahu strategi yang digunakan PN kini juga mempunyai sedikit persamaan dengan apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Jelasnya, persamaan yang boleh diperhatikan adalah seseorang yang tidak lagi menjadi perdana menteri juga tidak akan menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

Sebagai contoh, kedudukan dan status bekas perdana menteri Najib Razak selepas PRU14 yang menyandang jawatan pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) hanya kekal sebagai ahli Parlimen biasa.

Situasi yang sama juga dikesan apabila Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri pada tahun 2020, beliau turut melepaskan jawatan pengerusi Bersatu menyaksikan Anwar yang ketika itu menerajui PH menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

“Maka, Muhyiddin juga mengambil pendekatan yang mirip dengan kepimpinan terdahulu.”

Pada 9 Disember, mesyuarat jawatankuasa PN turut menamakan Muhyiddin sebagai ketua ahli Parlimen dan juga ketua whip PN.