- Iklan -
Berita

Ejekan Tony Pua tunjukkan peranan MCA sebagai ‘pembangkang’ dalam BN, kata penganalisis

Walaupun MCA kini merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran kerana menganggotai Barisan Nasional, namun ia berikrar untuk membanteras rasuah dalam gabungan tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong bersama pemimpin Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan ketika majlis pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Presiden MCA Wee Ka Siong bersama pemimpin Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan ketika majlis pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Ejekan terhadap MCA oleh seorang pemimpin DAP walaupun kedua-dua parti itu kini berada dalam kerajaan campuran seakan menunjukkan kedudukan tidak rasmi parti gabungan Barisan Nasional (BN) itu sebagai suara pembangkang, walaupun pemimpinnya akur selepas pada awalnya menentang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Presiden MCA Wee Ka Siong yang menjadi salah seorang daripada dua ahli parti itu yang menjadi ahli Parlimen berkata MCA akan melawan rasuah dan salah guna kuasa dalam BN sebagai salah satu daripada 18 resolusi yang diluluskan dalam perhimpunan agung tahunan (AGM) parti itu, yang diadakan secara tertutup di Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, hasrat MCA itu menjadi sasaran ejekan bekas ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang mengatakan parti komponen gabungan itu sebagai pemuja “raja kleptokrat”, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara.

“LoL. Untuk parti yang memuja Najib Razak. Yang tidak pernah sekali pun mencela raja kleptokrat. Tidak pernah mengambil tanggungjawab dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia walaupun selepas penjahat (crook) itu dipenjarakan.

“Cis,” tulis Pua di Facebook pada petang hari yang sama sebagai kapsyen kepada perkongsian pautan artikel dari sebuah portal berita.

Kenyataan Pua itu turut mengundang reaksi kurang senang dari warganet yang menggesa supaya beliau berdiam diri dan tidak membuat sebarang ulasan yang boleh mengganggu kestabilan politik kerajaan semasa.

“Tony Pua, sila jaga mulut kamu. Jika kamu terus membawa benda-benda di masa lalu maka Kerajaan Perpaduan sekarang juga akan tumbang tidak lama lagi kerana keangkuhan kamu sendiri. 

“Kamu boleh melihat sendiri laman FB Najib Razak kerana dia juga menyebut bahawa….jaga mulut kamu,” tulis JB Suren di ruangan komen.

Malah, ada juga yang mempertikai mengapa Pua hanya “berbunyi” kepada Wee dan bukannya kepada para pemimpin Umno.

“Bagaimana pula parti yang memuja Zahid dan Umno, lihat Pakatan Harapan (PH) sekarang,” tulis Joshua Lau.

Sementara itu, seorang penganalisis tempatan berkata kedudukan MCA yang dilihat sebagai blok “pembangkang” dalam BN membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu membuat kritikan terhadapnya.

Liew Wui Chern dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata ini berlaku sejak di peringkat awal lagi apabila MCA enggan menyertai kerajaan yang diterajui Pengerusi PH Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Katanya, keberadaan MCA dalam kerajaan semasa hanya untuk mencukupkan bilangan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Manakala posisi DAP pula jelas sebagai parti memerintah dalam kerajaan semasa kerana menyertai kerajaan selepas PRU15 bahkan beberapa ahli Parlimennya juga dilantik menganggotai Kabinet sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Jadi, dari peringkat pembuat keputusan dasar atau di peringkat parti, anda boleh lihat satu pihak parti pemerintah, satu lagi parti pembangkang dalam parti pemerintah atau pakatan pemerintah, apa pun yang kita namakan.

“MCA ialah parti pembangkang dalam pakatan pemerintah. Inilah kedudukan MCA dalam BN,” katanya kepada MalaysiaNow.

Selepas PRU15, Wee berkata bahawa MCA bersedia untuk memainkan peranan sebagai pembangkang, "untuk menyediakan semak dan imbang bagi kerajaan yang akan datang".

Beliau adalah salah seorang daripada beberapa pemimpin BN yang berkata bahawa gabungan itu harus menerima kekalahannya,  selain bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan.

Beliau juga merupakan salah seorang pemimpin BN yang tidak sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana mahu membentuk kerjasama dengan PH dan menyokong Anwar sebagai perdana menteri ke-10.

Mereka juga lantang menyuarakan tidak bersetuju dengan tindakan Zahid menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Anwar kerana bertentangan dengan pendirian yang diputuskan dalam majlis tertinggi BN yang mahu menjadi blok pembangkang di Parlimen.

BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan dengan Zahid kembali menjadi timbalan perdana menteri selepas meninggalkan pejabat tersebut sebelum PRU14 lalu.

Bagaimanapun, parti komponen BN, MIC dan MCA tidak mendapat sebarang jawatan di dalam senarai jemaah menteri dan timbalan menteri berbanding Umno dengan enam lantikan menteri dan lima timbalan menteri.

Dalam pada itu, Liew menegaskan kenyataan yang dibuat oleh bekas pemimpin DAP Selangor itu terhadap MCA hanya pandangan peribadi dan bukannya mewakili parti tersebut.

Perkembangan itu, katanya, tidak akan membawa masalah yang serius atau menggugat kerjasama antara BN dan PH di peringkat pentadbiran pusat.

“Apa yang boleh kita katakan, sekurang-kurangnya, DAP kini tidak hentam apa-apa mengenai Umno. Mereka hanya hentam MCA.”