- Iklan -
Berita

Rayuan Rosmah berhubung semakan kehakiman terhadap lantikan Sri Ram didengar 18 Mei

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu memohon deklarasi keseluruhan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan telah menetapkan 18 Mei tahun depan untuk mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung semakan kehakiman beliau bagi mencabar pelantikan seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah RM1.25 bilion membabitkan projek hibrid solar yang dihadapinya.

Peguam Akberdin Abdul Kader, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar mahkamah rayuan Mariam Hasanah Othman hari ini.

Pada 30 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kesnya.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan peguam negara/pendakwa raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini, Rosmah memohon untuk menggugurkan Sri Ram namun ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah beliau. Rayuannya berhubung perkara itu turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman dua hari sebelum Mohamad Zaini memberikan keputusan dalam kes rasuah beliau.

Pada 1 September lepas, Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Beliau telah memfailkan rayuan berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya dan kini bebas dengan jaminan sebanyak RM2 juta sementara menunggu pendengaran kesnya.