- Iklan -
Berita

'Jangan main wayang', Muhyiddin bidas gesaan siasat perbelanjaan Covid-19 sebanyak RM600 bilion

Katanya semua perbelanjaan semasa beliau menerajui kerajaan diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan beliau sedia disiasat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan menyelewengkan hampir RM600 bilion ketika menerajui negara, mengatakan beliau sedia disiasat susulan laporan polis terhadapnya.

Dalam sebuah kenyataan, Muhyiddin berkata beliau “mengagak” dakwaan tersebut merujuk lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksanakannya sepanjang menjadi perdana menteri.

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. 

“Saya sebagai perdana menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini,” katanya sambil menyifatkan dakwaan tersebut "'tak masuk akal’ kerana semua wang itu adalah wang bantuan rakyat yang dimasukkan ke akaun mereka dan ‘tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya’.”

Katanya, menurut kenyataan menteri kewangan pada Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal bernilai RM83 bilion. 

Sementara pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842 juta, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500 juta dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.

Selain itu, wang yang dibelanjakan turut merangkumi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan.

Muhyiddin berkata, sekiranya benar dakwaan tersebut berlaku  sudah tentu ia akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. 

“Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen. 

“Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar.”