- Iklan -
Berita

Amanah selar pemimpin DAP berhubung Kabinet

Razak Ridzuan berkata timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu harus meneladani pimpinan partinya demi kestabilan politik dan negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamu ketika ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15. Gambar: Facebook
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamu ketika ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15. Gambar: Facebook

Seorang pemimpin Amanah membidas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berhubung kritikannya bahawa barisan Kabinet yang diumumkan oleh Anwar Ibrahim hanya mempunyai seorang menteri daripada etnik India.

Dalam kenyataannya hari ini, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan berkata Ramasamy harus berjiwa besar dan perlu mencontohi pimpinan DAP yang sanggup berkorban demi kestabilan politik dan negara.

Razak juga menasihatkan Ramasamy tidak membuat kritikan secara terbuka, mengatakan situasi politik semasa tidak pernah berlaku sebelum ini dan memerlukan setiap gabungan yang membentuk kerajaan mengenepikan kepentingan mereka sendiri.

“Ramasamy juga harus belajar dari pengalaman 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang pimpinannya kerap kali dilihat berbeza pandangan di ruang terbuka, sehingga diambil kesempatan oleh musuh politik,” kata Razak.

Sementara itu, Ramasamy tetap mempertahankan pandangannya selepas menjadi sasaran penyokong PH yang mengecam kritikan beliau itu.

Dalam sebuah hantaran Facebook, Ramasamy berkata gesaannya supaya seorang lagi menteri daripada masyarakat India dilantik adalah seruan bagi "pengiktirafan dan penghormatan" kepada masyarakat itu.

Katanya, beliau tidak bercakap dari sudut nasionalisme etnik, sebaliknya dari sudut pandang mengiktiraf hak asasi etnik dan budaya masyarakat India.

“Jawatan tambahan itu secara asasnya bukan mengubah status pembangunan dalam masyarakat itu,” katanya.

"Ia hanyalah satu langkah kecil menuju ke arah yang betul dengan mengatakan bahawa kerajaan perpaduan ketika ini memberi perhatian kepada sebilangan kecil etnik yang tidak berkuasa di negara ini."