- Iklan -
Berita

PM perlu terima kritikan, bukan hanya pujian, kata peguam

Rafique Rashid berkata perdana menteri perlu menumpukan kerjanya daripada melayan kritikan yang dilontarkan kepadanya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pengumuman Kabinet di Perdana Putra.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pengumuman Kabinet di Perdana Putra.

Seorang peguam membandingkan tindakan menggunakan polis bagi berdepan pengkritik oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 dengan bagaimana Dr Mahathir Mohamad menguruskan keadaan itu.

Peguam Rafique Rashid berkata, selepas Mahathir menerajui kerajaan berikutan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bekas perdana menteri itu meminta polis untuk tidak menahan pihak-pihak yang melemparkan penghinaan terhadapnya.

Ia berikutan tindakan polis pada ketika itu terhadap seorang lelaki yang didakwa menghina Mahathir yang baru sahaja dilantik sebagai perdana menteri buat kali kedua.

Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi menerusi Facebook pada ketika itu berkata, suspek ditangkap berikutan laporan polis oleh beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan "penghinaan keterlaluan terhadap Mahathir dan agama Islam".

Rafique yang juga anggota Pejuang berkata, ahli politik merupakan figura awam dan perlu bersedia untuk menerima bukan sahaja pujian, bahkan kritikan masyarakat, menyelar tindakan kerajaan yang meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap individu yang memberi ulasan buruk terhadap Anwar.

"Kalau letak dua figura ni nampak jelas perbezaannya. 

"Tapi yang ini (Anwar) tak sampai seminggu pun dah buat laporan polis," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar Ibrahim telah meminta polis mengambil tindakan mengenai kecaman yang mengatakan beliau adalah agen Israel.

Polis turut mengesahkan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad telah disiasat berhubung perkara itu.

Berhubung perkembangan itu, Rafique menambah, sekiranya presiden PKR itu benar-benar terguris atau merasakan reputasi dirinya terjejas akibat kritikan-kritikan terhadapnya, maka beliau sendiri perlu membuat laporan polis tanpa melibatkan pihak lain. 

"Kalau betul nak buat laporan kenapa bukan Anwar yang buat sendiri laporan? 

"Kenapa perlu gunakan 'alat' atau parti dia untuk ambil tindakan?"

Sebelum ini, Anwar turut dibidas oleh kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL), mengatakan jika pemimpin itu berasa terkilan dengan ulasan buruk mengenai dirinya, beliau perlu memfailkan saman fitnah di mahkamah sivil.

Bersetuju dengan LFL, Rafique berkata melalui saman fitnah di mahkamah sivil seseorang boleh mendapatkan keadilan berhubung tohmahan terhadap dirinya, mengatakan ia adalah cara yang lebih teratur dari segi undang-undang. 

Sebagai contoh, katanya, kes saman fitnah bekas timbalan menteri Chew Mei Fun, terhadap dua pemimpin DAP Tony Pua dan Yeo Bee Yin berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

Selain itu, bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pernah memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam yang didakwa memfitnahnya dengan niat jahat apabila memuat naik video di media sosial. 

"Ini membuktikan proses sivil pun boleh kita dapatkan keadilan di mahkamah. 

"Menggunakan polis seakan-akan perdana menteri atau mana-mana orang dalam kerajaan tak boleh dikritik langsung." 

Bagaimanapun, Rafique bersetuju semua pihak masih mempunyai hak untuk membela diri dan reputasi masing-masing. 

Namun, ia tidak sepatutnya menyebabkan polis dan mahkamah perlu mengenepikan kes yang lebih penting semata-mata untuk mengendalikan kes laporan dan saman fitnah yang dihadapi ahli politik tertentu. 

"Tunduk dan buat kerja. Sebab masyarakat akhirnya akan menilai berdasarkan kerja kita. 

"Tapi kalau jadi ahli politik zaman sekarang, takkan hari-hari saman, hari-hari pergi balai polis? Jangan layan kritikan ini."