- Iklan -
Berita

Lantik ‘kleptokrat’, Kabinet Anwar paling mengecewakan dalam sejarah, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu menyelar pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri serta keputusan Anwar Ibrahim untuk mengambil portfolio kewangan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menyelar barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam tadi kerana menamakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri.

“Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri,” katanya, mengatakan Anwar “menggadai” prinsip tatakelola yang baik seperti yang diuar-uarkan semasa kempen pilihan raya.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri,” tambah Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.”

Ahli Parlimen Pagoh itu juga mengecam keputusan Anwar memegang portfolio kewangan ketika beliau sudah menjadi perdana menteri, menyifatkan ia sebagai amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan besar-besaran, seperti yang berlaku dalam skandal 1MDB.
 
Beliau turut mengecam pelantikan ahli Parlimen sebagai anggota Kabinet yang disifatkan sebagai "cauvinis melampau", mengatakan ia akan bakal mengundang kontroversi dan dijangka kemungkinan "dasar perkauman yang ekstrem” akan diperkenalkan.

"Agenda reformasinya hilang apabila beliau tidak dapat mempertahankan perjuangan partinya sendiri untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik," tambahnya.

“Maruahnya sebagai pemimpin sejati yang patut dihormati dan bermaruah kini sangat boleh dipersoalkan."