- Iklan -
Berita

PAS ucap tahniah kepada Anwar, akan rujuk pengundi berhubung tawaran kerajaan perpaduan

PAS turut berkata ia akan membincangkan perkara ini dengan Perikatan Nasional.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong PAS menyambut kemenangan Presidennya, Abdul Hadi Awang di Marang pada 19 November lalu. Gambar: Bernama
Penyokong PAS menyambut kemenangan Presidennya, Abdul Hadi Awang di Marang pada 19 November lalu. Gambar: Bernama

PAS mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai perdana menteri Ke-10 semalam, sekali gus menamatkan kemelut politik di Malaysia.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, tawaran Anwar kepada Perikatan Nasional untuk menyertai kerajaan perpaduan akan dibincangkan dalam kalangan parti komponen dan merujuk pandangan pengundi yang menyokong PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

"PAS mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam  PN di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PRU15, PAS yang merupakan antara komponen parti PN memperoleh 49 kerusi Parlimen, menjadikan ia parti yang meraih kerusi Parlimen tertinggi.

Dalam pada itu, PAS turut meluahkan kesyukuran apabila kemelut kepimpinan negara pasca PRU15 tamat secara damai.

Takyiuddin berkata, parti itu turut yakin ahli Parlimen Tambun itu akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri dan rakyat.

"Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal pelantikan perdana menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.