- Iklan -
Berita

Saarani angkat sumpah jawatan sebagai MB Perak

Pelantikan Saarani Mohamad dipersetujui oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selepas kedua-dua gabungan politik bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Adun Kota Tampan Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan di hadapada Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar semalam.
Adun Kota Tampan Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan di hadapada Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah petang semalam. 

Terdahulu, Saarani, 61, menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah. 

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan hakim utama Mahkamah Tinggi Ipoh Abdul Wahab Mohamed. 

Sultan Nazrin telah memberi perkenan pelantikan Saarani berpandukan Perkara 16 Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak setelah pada timbangan baginda, Adun Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Adun.

Pelantikan Pengerusi Umno Negeri Perak itu sebagai menteri besar dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas kedua-dua gabungan politik bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri. 

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi manakala PH dan BN masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri baru di Perak.