- Iklan -
Berita

Pemimpin tertinggi PN berkumpul di kediaman Muhyiddin

Antara yang dilihat adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan Pengerusi PN Perak Ahmad Faizal Azumu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Media berkumpul di luar kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Media berkumpul di luar kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Kenderaan membawa beberapa pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) dilihat memasuki kediaman Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini sejak 9.50 pagi tadi. 

Antara yang dilihat adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan Pengerusi PN Perak Ahmad Faizal Azumu.

Ia dipercayai bagi membincangkan mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan, susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam bahawa  proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan yang disokong bagi pembentukan kerajaan baru dan calon perdana menteri dilanjutkan hingga 2 petang ini.

Kemelut politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 memasuki hari ketiga hari ini selepas keputusan pilihan raya menunjukkan tiada mana-mana parti politik meraih majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. 

Sementara itu, Hamzah dalam satu kenyataan semalam memaklumkan PN telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-10.