- Iklan -
Berita

PN serah lebih dari 112 SD untuk sokong Muhyiddin sebagai PM

Jumlah itu diumumkan sebelum waktu akhir diberikan Istana Negara hari ini yang kini dilanjutkan selama 24 jam selepas diminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motorsikal melewati dereta bendera Perikatan Nasional di Tambun, Perak.
Seorang penunggang motorsikal melewati dereta bendera Perikatan Nasional di Tambun, Perak.

Perikatan Nasional (PN) mengemukakan akuan berkanun (SD) daripada ahli Parlimen untuk menunjukkan bahawa gabungan itu telah mencapai majoriti yang diperlukan untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru.

“Jumlah surat akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan perdana menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin.

Kenyataan itu dibuat menjelang waktu akhir 2.00 petang yang ditetapkan oleh Istana Negara semalam, yang kini dilanjutkan 24 jam berikutan permintaan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dan sekumpulan pemimpin Umno hari ini mengadakan perbincangan dengan pemimpin PH yang diketuai oleh Anwar Ibrahim, ketika mereka meningkatkan usaha untuk mendapatkan lebih ramai sokongan ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu PN menerima sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru. 

Tambahnya, gabungan itu sedang menunggu jemputan oleh Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi melantik perdana menteri baru. 

"Kita dah cukup. Lebih daripada cukup," katanya kepada wartawan ketika keluar dari kediaman Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara hari ini.

Semalam, Gabungan Parti Sarawak berikrar 22 ahli Parlimennya menyokong PN, bersama enam ahli Parlimen lain dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ahli Parlimen Barisan Nasional.

Bagaimanapun, Zahid menafikan BN memberikan sokongan kepada Muhyiddin, dan memberi amaran kepada ahli Parlimen bahawa mereka boleh kehilangan kerusi jika tidak mengikut arahan parti.

Zahid berdepan tekanan hebat selepas BN mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum Sabtu lalu, di mana beberapa pemimpin Umno meletakkan jawatan mereka dan menggesa beliau melakukan perkara yang sama.