- Iklan -
Berita

Undi Melayu beralih kepada PN, banyak kubu kuat PKR, Umno tersungkur

Nurul Izzah Anwar kalah di Permatang Pauh sementara nama besar Umno turut tumbang termasuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan Tengku Razaleigh Hamzah pada PRU15.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Perikatan Nasional digantung di sepanjang jalan di Kampung Manjoi, Tambun, Perak.
Bendera Perikatan Nasional digantung di sepanjang jalan di Kampung Manjoi, Tambun, Perak.

Anak perempuan Anwar Ibrahim, Nurul Izzah menjadi antara calon yang mengalami kekalahan akibat perubahan besar undi Melayu yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN), dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 semalam.

Nurul Izzah tewas kepada calon PN Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dari PAS dengan majoriti 5,272 undi, mengembalikan kerusi itu kepada parti Islam tersebut selepas empat dekad lalu ia dimenangi oleh Anwar pada 1982.

Kekalahan itu dilihat sebagai tamparan peribadi kepada Anwar kerana Permatang Pauh dianggap sebagai lambang karier politiknya sejak memenangi kerusi itu pertama kali pada 1982. 

Kerusi itu juga hanya ditandingi ahli keluarga beliau termasuk semasa ketiadaannya ketika dipenjarakan bagi kesalahan liwat, dan kemudiannya beliau berpindah ke Port Dickson selepas dibebaskan pada 2018.

Anwar sendiri hanya memenangi Tambun dengan majoriti tipis sebanyak 3,700 undi .

Sementara itu, BN juga kehilangan dua kerusi yang sudah berpuluh tahun diwakili pemimpin Umno.

Persaingan di Putrajaya yang merupakan kerusi tradisi Tengku Adnan Mansor berakhir dengan kemenangan Radzi Jidin dari PN, manakala ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya kalah di Gua Musang, Kelantan.

Radzi memperoleh 16,002 undi, menentang Ku Nan (13,692) sementara calon PH Noraishah Mydin Abdul Aziz hanya mendapat 5,988 undi.

Di Gua Musang, Razaleigh tewas dengan kepada calon PAS Mohd Aziz Abu Naim sebanyak 163 undi.

Sementara itu, PN turut menang satu lagi wilayah persekutuan apabila calonnya Suhaili Abd Rahman menewaskan calon BN dan Warisan di Labuan, yang juga merupakan kerusi tradisi BN.

Di kawasan lain, PN turut membuat kejutan apabila memenangi kerusi-kerusi yang dianggap sebagai kawasan Melayu dan kubu kuat penyandangnya.

Antara tersungkur ialah Dr Mahathir Mohamad, yang baru empat tahun lalu dianggap sebagai faktor utama pemerintahan enam dekad BN tumbang pada pilihan raya umum 2018.

Calon tertua negara yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu hanya mampu menduduki tempat kedua terakhir dalam pertandingan lima penjuru, apabila sekadar memperoleh 4,566 undi, manakala Mohd Suhaimi Abdullah dari PN mendapat 25,463 undi.

PN juga merampas Tanjung Karang, Kepala Batas, Padang Rengas dan Pasir Salak, yang selama ini dianggap sebagai kubu Umno, parti yang terus menerajui BN walaupun kehilangan kuasa persekutuan pada 2018.

Antara kerusi Melayu pinggir bandar lain yang dirampas PN termasuk Gerik, Padang Besar serta Kulim Bandar Baharu di mana Roslan Hashim menewaskan orang kuat PKR Saifuddin Nasution dengan lebih 13,000 undi.

Di Hulu Selangor, di mana BN dan PH saling menguasainya sejak tiga pilihan raya umum lalu, calon PN Hasnizan Harun telah berjaya merampasnya dengan 46,823 undi, menewaskan Sathia Prakash Nadarajan dari PH yang menerima 45,261 500 undi, sementara Mohan Thangarasu dari MIC mendapat 27,050 undi. 

PN juga menang di Kapar, Selangor, kawasan yang disandang oleh Abdullah Sani dari PKR selama tiga penggal.

Kemenangan PN di beberapa kawasan ini adalah penting terutama dalam menjangkakan perpecahan undi Melayu yang sebelum ini dianggap menguntungkan Pakatan Harapan (PH).