- Iklan -
Berita

Ikut atau hilang kerusi, Zahid beri amaran kepada ahli Parlimen BN

Presiden Umno memberikan reaksi beliau terhadap berita mengatakan GPS bersedia untuk bersama dengan PN dan BN bagi mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-10.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa beliau mempunyai mandat untuk memberikan kata putus dalam menentukan gabungan politik dalam membentuk kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Reaksi beliau itu dikeluarkan selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan mereka bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada parti dalam kerajaan yang dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan BN.

Dalam kenyataannya hari ini, Zahid turut menafikan BN mengadakan rundingan dengan PN yang membawa maksud wujud sebarang persefahaman untuk membentuk kerajaan.

“Kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 telah menandatangani aku janji untuk memberi mandat kepada saya selaku presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan," kata Zahid, yang kini berdepan tekanan hebat daripada pemimpin Umno supaya berundur berikutan prestasi buruk parti itu pada PRU15 semalam.

Merujuk akta anti lompat parti yang sudah diwartakan, Zahid mengingatkan sekiranya arahan parti dilanggar, mereka akan digugurkan keahlian termasuk kehilangan kerusi Parlimen.

Hari ini, seruan supaya Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN disuarakan ramai pemimpin parti dan akar umbi selepas gabungan itu hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jauh ketinggalan di belakang PN yang memperolehi 73 kerusi.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan Ketua Umno Selangor Noh Omar juga meletakkan jawatan mereka dan menggesa Zahid melakukan perkara yang sama, manakala MCA menyelar keputusannya untuk menangguhkan mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin BN malam ini dan memberi amaran bahawa tiada mana-mana pihak berhak untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN.

Petang tadi, Premier Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan GPS yang memenangi 22 kerusi Parlimen akan menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, bersama ahli Parlimen dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Malahan, sebelum pilihan raya, terdapat spekulasi kuat mengatakan Zahid bakal memberikan sokongannya kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya Parlimen digantung, sekali gus menjadikan pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.