- Iklan -
Berita

Azmin kecam kenyataan 'sombong' Rafizi terhadap ketua SPRM

Calon PN kerusi Parlimen Gombak itu berkata anggota perkhidmatan awam hanya menjalankan tugas yang diputuskan oleh kerajaan dan bukan ahli politik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali.

Kenyataan  berbaur ugutan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki disifatkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali sebagai angkuh dan sombong. 

Azmin berkata kenyataan dikeluarkan Rafizi berkenaan juga memperlihatkan watak pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sebagai cubaan mendera anggota perkhidmatan awam.

Calon PN kerusi Parlimen Gombak itu berkata anggota perkhidmatan awam hanya menjalankan tugas yang diputuskan oleh kerajaan dan bukan ahli politik.

“Jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam… tiada keperluan tetapi mungkin ini sudah di takdirkan begitu. 

“Anggota perkhidmatan awam boleh lihat sendiri watak PH,” katanya kepada pemberita selepas Rapat Umum Era Baharu Putrajaya semalam. 

Media tempatan melaporkan Rafizi pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru semalam, dilapor berkata PH akan 'mencari' Azam sekira pakatan itu menang pada PRU15.

Sebelum ini, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon PH kerusi Parlimen Pandan pada PRU15.

Ditanya mengenai tindakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyamannya kerana didakwa membuat kenyataan palsu, Azmin berkata: “Itu terpulang hak masing-masing, saya hanya kemuka beberapa perkara yang telah buat PH ditolak oleh rakyat.”

Media melaporkan, Lim mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Mohamed Azmin kerana membuat kenyataan palsu dengan mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan.

Lim memberitahu Azmin mendakwanya telah menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar "syarikat yang dikaitkan dengan MCA", mengenakan cukai baru ke atas perniagaan dan mengenakan cukai tambahan ke atas "perniagaan Cina" tertentu.