- Iklan -
Berita

Najib nafi akan dibebaskan jika BN menang PRU15

Najib meluahkan kekecewaan mendalam beliau terhadap tindakan menggunakan namanya dalam propaganda politik yang tidak berasas meskipun sudah dipenjarakan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau gagal mengenepikan sabitan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau gagal mengenepikan sabitan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Najib Razak menafikan dakwaan bahawa beliau akan dibebaskan segera menerusi pengampunan diraja jika Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tetuan Shafee & Co melalui kenyataan memaklumkan bahawa Najib meluahkan kekecewaan mendalam beliau terhadap tindakan menggunakan namanya dalam propaganda politik yang tidak berasas meskipun bekas perdana menteri itu sudah dipenjarakan.

"Anak guam kami ingin menafikan sekeras-kerasnya kesemua dakwaan ini. Anak guam kami telah secara konsisten, sejak permulaan perbicaraannya pada 2018, menyatakan bahawa beliau mahu dibebaskan melalui proses kehakiman di mahkamah kerana beliau bukan sahaja ingin mendapatkan kebebasan tetapi juga membuktikan integriti dan legasinya.

"Beliau yakin bahawa peluang terbaiknya untuk dibebaskan ialah melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan selaras dengan Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

"Permohonan Najib secara khusus bersandarkan kepada asas bahawa proses dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan beliau terjumlah kepada menafikan hak Perlembagaannya bagi perbicaraan yang adil kerana peguam tidak diberi peluang melakukan persiapan rapi sehingga menyebabkan tiada hujah dikemukakan sekali gus meletakkan anak guam kami dalam situasi tanpa wakil pembelaan yang efektif di mahkamah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut jika keputusan permohonan semakan kehakiman memihak kepada Najib, bekas perdana menteri tersebut akan memohon perbicaraan semula bagi membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

Najib, 69, kini meringkuk di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atasnya selepas beliau didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.