- Iklan -
Berita

Tidak salah bercita-cita nak jadi PM, kata KJ

Menteri kesihatan itu berkata jika diberi peluang, beliau mahu mengemudikan pentadbiran negara pada satu hari nanti.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Khairy disambut pekerja industri SME Aerospace di Sungai Buloh pada 10 November.
Khairy disambut pekerja industri SME Aerospace di Sungai Buloh pada 10 November.

Khairy Jamaluddin menjawab kritikan segelintir pihak terhadap hasratnya menjadi perdana menteri suatu hari nanti dengan mengatakan beliau mahu membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin yang mampu memimpin negara. 

Ini susulan kenyataan calon BN di Sungai Buloh itu yang berkata mahu menerajui Umno suatu hari nanti dan menjadi perdana menteri di peringkat persekutuan. 

Bagaimanapun, kenyataan tersebut mengundang kritikan apabila ramai pihak membidas Khairy mempunyai cita-cita seperti Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang disebut-sebut tidak pernah berputus asa untuk diangkat menjadi perdana menteri. 

"Tak salah untuk sesiapa nak ada cita-cita. 

"Saya cuma bagi bayangan untuk beri khidmat pada negara dan rakyat. 

"Kalau diberikan peluang saya juga mahu kemudi negara di kemudian hari," katanya dalam satu sidang media di Cyberjaya, Selangor hari ini. 

Pada 8 November, Khairy menyatakan hasrat beliau pertama kali untuk menjadi perdana menteri di hadapan pengundi Sungai Buloh dalam ceramah kempennya di Taman Saujana Utama.

"Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan-rakan, satu hari nanti saya nak pimpin Umno, satu hari nanti saya nak jadi perdana menteri kamu untuk kita bangunkan negara ini.”

Pada 2018, Khairy melawan Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan presiden pada pemilihan Umno, namun gagal merebut jawatan itu selepas hanya menerima 61 undi dari 191 perwakilan Umno bahagian.

Sementara Tengku Razaleigh Hamzah yang turut merebut jawatan itu berada di kedudukan terakhir.

Khairy dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang tidak sehaluan dengan Zahid dinamakan sebagai calon di Sungai Buloh selepas diminta mengosongkan kerusinya di Rembau bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi itu.