- Iklan -
Berita

PH tak sepakat isytihar harta calon, kata Khairy

Calon Parlimen Sungai Buloh itu berkata DAP, yang merupakan rakan PKR dalam Pakatan Harapan tidak mewajibkan calonnya mengisytiharkan harta.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Calon Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin.
Calon Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin berkata pengisytiharan harta oleh calon-calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mendapat persetujuan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana katanya, parti komponen PH iaitu DAP tidak membuat pengisytiharan harta seperti yang dituntut oleh pemimpin-pemimpin PKR. 

"Kalau PKR nak buat boleh. Tiada masalah. 

"Tapi rakan-rakan PKR pun tak buat. DAP pun tak buat. Tapi biarlah, itu pendirian (parti) masing-masing," katanya pada sidang media selepas melancarkan pengoperasian Hospital Cyberjaya, di Cyberjaya hari ini.

Malam tadi, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengkritik gabungan parti-parti politik yang tidak menggesa calon-calon yang bertanding PRU15  mengisytiharkan harta masing-masing.

"Kalau isytihar harta pun tak berani jangan cakap pasal pejuang rakyat sebab harta pun kamu tak berani nak jawab," katanya dalam ceramah jelajah Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, malam tadi. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata pengisytiharan harta sudah menjadi amalan yang dilakukan oleh BN dan Umno sejak sekian lama. 

Menurut Khairy, beliau akan mengisytiharkan harta selepas membentuk kerajaan dan dilantik menjadi menteri di peringkat persekutuan. 

"Saya pun dah isytihar harta kepada SPR, dan harta saya berada dalam julat harta yang dibenarkan oleh SPRM," katanya. 

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menegaskan tidak bercadang untuk mewajibkan semua calon-calon yang bertanding pada PRU15 supaya mengisytiharkan harta. 

Katanya, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon-calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka.