- Iklan -
Berita

Khairy masih anggap diri sebagai calon 'underdog' di Sungai Buloh

Calon Barisan Nasional itu berkata beliau berusaha berjumpa seramai boleh pengundi sebelum hari pengundian, selain menggunakan platform media sosial untuk berkempen.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Barisan Nasional bagi kerusi Sungai Buloh Khairy Jamaluddin.
Calon Barisan Nasional bagi kerusi Sungai Buloh Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin masih menganggap dirinya sebagai "underdog" (bukan pilihan) di kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu berkata beliau berusaha berjumpa seramai boleh pengundi sebelum hari pengundian, selain menggunakan platform media sosial untuk berkempen.

“Kita dah menghampiri ‘separuh masa’ kempen dan ada separuh masa lagi. Insya-Allah akan cuba yang terbaik (tetapi) ia bukanlah mudah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini hari ini.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi R. Sivarasa dari PH (PKR) selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari PAS, A Prakash Rao (BN) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bagi PRU15, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru membabitkan Khairy, Datuk R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

Mengulas mengenai banjir di Kampung Melayu Subang dan Taman Setia Warisan di Sungai Buloh semalam, Khairy yang juga menteri kesihatan berkata terdapat keperluan menambah baik sistem tebatan atau mitigasi banjir di kawasan tersebut.

“Ramai boleh kata banjir adalah kesan perubahan iklim, tetapi saya tengok ada banyak kemudahan dan projek tebatan banjir mesti diperhebatkan. Ban yang menahan air sungai di Taman Setia Warisan tidak cukup panjang menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.

“Jadi jika saya dipilih sebagai ahli Parlimen nanti, kena duduk sekali dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan untuk kita buat pemetaan kawasan risiko tinggi dan kita akan cadangkan penyelesaian yang holistik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempunyai potensi besar untuk menang di kerusi Parlimen Rembau.

Khairy yang pernah menyandang kerusi Rembau selama tiga penggal berkata Mohamad atau mesra disapa "Tok Mat" bukanlah wajah asing di kawasan itu.