- Iklan -
Berita

Desakan menteri PH tukar KSU jengkelkan Mahathir, kata Azmin

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata tindakan menteri Kabinet PH itu sama seperti mahu bergaduh dengan perkhidmatan awam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali mendakwa lapan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggesa perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, menukar ketua setiausaha pelbagai kementerian, mengatakan ia adalah satu contoh bagaimana pentadbiran gabungan itu bertembung dengan aspirasi rakyat.

Bercakap dalam program yang disiarkan Astro Awani malam tadi, bekas pemimpin kanan PKR itu berkata anggota Kabinet PH juga menggesa Mahathir menukar sejumlah lapan ketua setiausaha kementerian, yang disifatkan beliau sebagai satu langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sebab itu Dr Mahathir tidak bersetuju dengan desakan lapan menteri PH,” tambahnya.

“Mengapa sebuah kerajaan yang baru mendapat mandat oleh rakyat mahu bergaduh dengan perkhidmatan awam, sedangkan penjawat awam tidak terlibat dalam parti-parti politik?

"Mereka berada di kementerian masing-masing untuk melaksanakan dasar yang diputuskan oleh kerajaan."

Sebagai contoh, katanya, banyak peruntukan untuk pembangunan dihapuskan, menyebabkan "sesuatu kaum di negara ini berasa tertekan".

Azmin merupakan timbalan kepada Anwar Ibrahim dalam PKR sebelum menyertai Bersatu selepas beliau dipecat daripada parti itu pada Februari 2020.

Bersatu kemudiannya bersama PAS dan Barisan Nasional membentuk kerajaan susulan Langkah Sheraton di mana presidennya, Muhyiddin Yassin mendapat majoriti sokongan ahli Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir meletakkan jawatannya.

Dalam pada itu, Azmin juga berkata rakyat tidak akan "terpedaya” dengan pihak yang melabelnya sebagai pengkhianat, mengatakan “pengkhianat sebenarnya yang jarang kita bicara ialah mereka yang melakukan pilihan raya kecil (PRK) di Kajang".

"Mengapa kita tidak fokus soal Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson, tetapi memilih Langkah Sheraton sedangkan Langkah Kajang itu adalah satu pengkhianatan yang mutlak" katanya.

“Di mana wakil rakyat itu masih hidup dan masih berkhidmat, dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Tetapi kerana nafsu serakah seseorang, maka wakil rakyat ini dipaksa meletakkan jawatan bagi membolehkannya menjadi menteri besar Selangor.

"Apakah ini bukan pengkhianatan namanya?”

Walaupun tidak menyebutkan nama, Azmin dipercayai merujuk Anwar di mana beliau menambah perkara yang sama turut berlaku di Port Dickson bagi membolehkan ketua pembangkang itu kembali ke Parlimen pada 2018. 

Katanya, dalam Langkah Sheraton, tiada sesiapa yang didesak untuk meletakkan jawatan.

“Malahan, kita memperkukuhkan kedudukan Mahathir supaya beliau mendapat sokongan yang kuat dalam melaksanakan dasar di Dewan Rakyat dan dalam kerajaan,” katanya.

“Malangnya, pergaduhan dan perebutan kuasa dalam PH itu sendiri menyebabkan Mahathir meletakkan jawatan.

“Jadi mengapa dipersalahkan saya dan Tan Sri Muhyiddin sedangkan kekosongan berlaku kerana tindakan perdana menteri meletak jawatan?”