- Iklan -
Berita

Tiada jangkaan cuaca buruk luar biasa hujung Oktober, kata MetMalaysia

Keadaan cuaca sedang dipengaruhi penumpuan angin di seluruh negara sehingga penghujung Oktober yang berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai meredah hujan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Orang ramai meredah hujan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menjangkakan akan berlaku cuaca buruk luar biasa pada penghujung bulan ini seperti yang tular dalam rakaman video di pelbagai platform media sosial serta aplikasi WhatsApp.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata melalui pemantauan terkini, keadaan cuaca di Malaysia sedang dipengaruhi penumpuan angin di semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah sehingga penghujung Oktober yang berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

Beliau berkata pada masa sama, satu sistem tekanan rendah terbentuk di barat Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara yang akan memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut. 

Katanya amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan hari ini dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50km sejam dan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh 27 hingga 30 Oktober.

Muhammad Helmi berkata MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari semasa ke semasa. 

Justeru, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca, melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.