- Iklan -
Berita

PN sedia hadapi ‘keangkuhan’ Umno selepas pembentangan bajet sia-sia, kata Azmin

Ketua penerangan PN itu berkata perkembangan terkini menunjukkan Umno gagal merasai denyut nadi rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali berucap ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu di Shah Alam, Selangor.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali berucap ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu di Shah Alam, Selangor.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali hari ini menyifatkan pembentangan bajet minggu lepas sebagai langkah sia-sia berikutan tindakan perdana menteri membubarkan Parlimen semalam, memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara menghadapi musim tengkujuh dan banjir.

Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata perkembangan politik baru-baru ini menunjukkan Umno gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi dan cuaca yang amat mencabar.

“Pembentangan Bajet 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan. 

"Keutamaan kita seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, mengatakan ia akan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil, kuat dan dihormati.

PN kemudiannya berkata walaupun kekal berpendirian sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, namun gabungan itu menghormati keputusan Ismail, selaras dengan Perlembagaan dan perkenan yang diperoleh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam kenyataannya hari ini, Azmin berkata PN tidak akan gentar dengan "kedegilan dan keangkuhan" Umno.

“PN akan menyertai pilihan raya dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara. 

"PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.”