- Iklan -
Berita

Pandangan, cadangan parti tidak pengaruhi kuasa PM, kata Ismail

Perdana menteri berkata sebelum ini, tidak pernah berlaku campur tangan parti politik lain mengenai pembubaran Parlimen oleh perdana menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap dalam sebuah acara di Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap dalam sebuah acara di Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama

Segala pandangan dan cadangan yang diutarakan parti-parti politik berkenaan pembubaran Parlimen tidak boleh mengubah dan mempengaruhi kuasa perdana menteri untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataan beberapa parti politik yang meminta supaya pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat ditangguhkan tidak akan mempengaruhi keputusan beliau namun setiap pandangan dan cadangan akan dilihat dan diteliti.

Beliau berkata keputusan pembubaran Parlimen sepatutnya tidak melibatkan perbincangan secara terbuka termasuk membabitkan parti kerajaan dan pembangkang sebaliknya akan dilakukan sekiranya perdana menteri merasakan Parlimen wajar dibubarkan.

"Keputusan pembubaran ini tidak ada kena mengena dengan parti politik lain. Sebelum ini pun tidak pernah dibincang secara terbuka macam ini tentang tarikh pembubaran Parlimen dan sebagainya. Dahulu perdana menteri umum bubar, bubarlah Parlimen.

"Mana ada parti politik lain bagi pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran. Tak pernah, bukan setakat perundingan dengan parti lain, parti sendiri tidak ada perbincangan dulu," katanya kepada media selepas majlis perasmian program Idea Bina Negara di Shah Alam hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan beberapa parti politik yang tidak bersetuju Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.