- Iklan -
Berita

Nak hantar isteri, anak atau diri sendiri boleh, kata Azmin kepada pencabarnya di Gombak

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dilihat sedia menyahut cabaran daripada mana-mana pihak dalam pertandingan pada PRU15 akan datang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya Gombak hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya Gombak hari ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan cabaran daripada penentangnya di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini membayangkan akan bertanding di kawasan majoriti Melayu itu.

Azmin membidas presiden PKR itu yang mengesahkan akan meninggalkan kerusi Port Dickson untuk bertanding di kerusi yang disandang oleh “pengkhianat”.

"Ada orang nak datang Gombak, silakan. Saya anak jantan. Nak hantar isteri boleh, anak pun boleh. 

“Kalau berani hantar diri sendiri," katanya pada ucapan perasmian jentera pilihan raya Bersatu di Shah Alam, Selangor hari ini. 

Azmin memenangi kerusi Gombak pada 2018 selepas menewaskan calon PAS dan Umno dengan majoriti 48,721.

Azmin dikatakan sebagai pengkhianat selepas mengetuai sekumpulan ahli Parlimen meninggalkan PKR pada 2020 ketika “Langkah Sheraton” yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Ia berlaku selepas perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, pengkhianat sebenar tidak menghormati mandat rakyat dengan bertanding kerusi yang dimenangi orang lain.

Azmin menyindir tindakan Anwar yang merancang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson setelah mendapat pengampunan diraja pada 2018.

Anwar menang di Port Dickson setelah pilihan raya kecil di kerusi itu setelah penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah letak jawatan.

Menurut Azmin, “kerakusan” Anwar untuk menggantikan perdana menteri ketika itu sebelum persidangan Apec akan merugikan negara. 

"Jika pemimpin dunia tahun dia (Mahathir) akan digantikan tidak lama selepas persidangan, siapa akan dengar cakap dia?"

Dalam pada itu, Azmin berkata rakyat sedang membuat perbandingan antara ketiga-tiga kerajaan yang telah mentadbir negara, iaitu Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN).

"Berdasarkan rekod, saya yakin rakyat akan memilih PN," katanya.