- Iklan -
Berita

Kabinet beri tumpuan kepada persiapan banjir bukan bubar Parlimen, kata menteri kanan

Mohamed Azmin Ali berkata mesyuarat Kabinet tidak menjurus ke arah menentukan tarikh PRU15 kerana tiada keperluan menyegerakannya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Mohamed Azmin Ali bersama Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Selangor, Abdul Rashid Asari meletakkan logo Bersatu dan Perikatan Nasional sebagai gimik pelancaran jentera pilihan raya Bersatu Selangor hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Mohamed Azmin Ali bersama Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Selangor, Abdul Rashid Asari meletakkan logo Bersatu dan Perikatan Nasional sebagai gimik pelancaran jentera pilihan raya Bersatu Selangor hari ini.

Kabinet berpegang kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan berhubung penentuan tarikh pembubaran Parlimen, meskipun Umno sedang mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini, kata seorang menteri kanan.

Mohamed Azmin Ali yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, mesyuarat Kabinet tidak menjurus ke arah menentukan tarikh PRU15 kerana tiada keperluan menyegerakannya.

"Jemaah menteri yang akan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri akan membawa mandat daripada jemaah menteri.

"Dalam perbincangan awal, kita telah menyatakan kepada perdana menteri untuk tumpukan kepada persiapan kemungkinan berlaku banjir.

"Kita ada masa yang panjang dan tidak perlu tergesa-gesa," katanya pada sidang media selepas pelancaran jentera pilihan raya Bersatu Selangor di Shah Alam, Selangor hari ini.

Azmin yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu berkata tidak terkejut dengan desakan Umno untuk membubarkan Parlimen pada tahun ini. Katanya, ia dilakukan untuk kepentingan beberapa individu tertentu.

Top five Umno termasuk Ismail baru-baru ini bertemu di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di Kuala Lumpur bagi mencapai konsensus berhubung tarikh pembubaran parlimen dan penentuan tarikh pilihan raya. 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan pendirian untuk melaksanakan pilihan raya pada tahun ini meskipun dikritik hebat ekoran musim banjir dan peralihan monsun yang dijangka melanda negara pada hujung tahun ini.

Menurut Azmin, walaupun situasi ekonomi negara semakin baik, negara memerlukan sedikit masa untuk meyakinkan pelabur-pelabur asing dalam membawa pelaburan. 

“Hanya dengan pelaburan baru dapat kita cipta pertumbuhan yang mampan dan peluang pekerjaan," katanya.