- Iklan -
Berita

Kertas siasatan berhubung hakim Nazlan selesai, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya menunggu arahan selanjutnya, yang akan diberikan oleh Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan kes membabitkan hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali, telah selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya menunggu arahan selanjutnya, yang akan diberikan oleh Pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan seterusnya.

“Dalam kes berkenaan, pada saya, kami (SPRM) telah selesaikan kertas siasatan dan ia (kertas siasatan) berada dengan SPRM...untuk arahan selanjutnya oleh AG.

“Seperti mana saya sebut dahulu, setakat ini saya juga belum dapat mengumumkan apa-apa arahan daripada AG. Buat masa ini, saya ‘reserve my comment’ dalam siasatan ini dan enggan mengulas lanjut,” beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di Georgetown semalam.

Pada 21 Ogos lalu, Peguam Negara Idrus Harun dilaporkan berkata, kertas siasatan kes membabitkan Nazlan tidak berada dengan AG.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Sementara itu, Azam berkata enam individu lagi termasuk pengarah syarikat, pengerusi pertubuhan, pegawai pentadbir syarikat dan setiausaha pertubuhan, dijangka dituduh di mahkamah berhubung penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Beliau berkata siasatan kes itu telah selesai dan sehingga kini sebanyak 33 kertas siasatan sudah dibuka, dengan lapan individu telah dituduh di mahkamah berhubung kes tersebut.

“Bagi yang belum dituduh kita jangka Jabatan Peguam Negara akan bersetuju untuk tuduh seramai enam orang lagi,” katanya.

Sementara itu Azam berkata pihaknya bersedia membantu parti politik membuat pemeriksaan dan saringan terhadap calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata walaupun tiada undang-undang atau dasar untuk memaksa agensi itu membuat saringan terhadap calon PRU15, namun mereka akan cuba membantu parti politik berbuat demikian.

“Saya percaya jabatan lain juga sedang menjalankan tapisan yang diperlukan oleh parti politik. Jadi, dalam kes SPRM, kami bersedia untuk membuat pemeriksaan dari segi rasuah, jika perlu,” katanya.