- Iklan -
Berita

Pengundi Gombak gagal dalam rayuan untuk kembalikan saman terhadap Azmin

Panel tiga hakim yang diketuai hakim besar Malaya Azahar Mohamed hari ini menolak permohonan pengundi itu bagi membolehkan mereka meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Sepuluh pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak gagal mendapat kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengembalikan semula saman mereka terhadap Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.

Panel tiga hakim yang diketuai hakim besar Malaya Azahar Mohamed hari ini menolak permohonan pengundi itu bagi membolehkan mereka meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dua lagi hakim ialah hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat dan Rhodzariah Bujang.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Azahar berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh peguam pengundi tersebut untuk penentuan Mahkamah Persekutuan, tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau tidak membuat sebarang arahan mengenai kos dengan mengatakan bahawa perkara itu adalah kes kepentingan awam.

Dalam prosiding secara dalam talian, peguam K Shanmuga yang mewakili pengundi mengemukakan empat persoalan undang-undang, dengan menegaskan bahawa isu yang terlibat sama ada seorang ahli Parlimen yang telah membuat representasi semasa pilihan raya boleh melanggar janji yang telah dibuatnya.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Azmin, berhujah bahawa bagi memperoleh kebenaran, pemohon perlu meyakinkan mahkamah bahawa persoalan undang-undang adalah baharu, mempunyai kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama seperti dikehendaki di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Pengundi itu mahu saman mereka terhadap Azmin dikembalikan dan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Saman itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 April lepas selepas membenarkan rayuan Mohamed Azmin.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin, yang merupakan menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri, atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi "Langkah Sheraton" yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020. 

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Azmin selaku ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi teruk dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 30 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman itu, mendorong beliau memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang kemudian memutuskan untuk memihak kepadanya dan membatalkan saman itu.

Dalam permohonannya, Azmin mendakwa saman itu melanggar hak asasinya untuk kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam A Surendra Ananth dan Yohendra Nadarajan turut mewakili pengundi itu manakala peguam Nurul Najwa Zainuddin juga mewakili Azmin.