- Iklan -
Berita

PAS muktamad hala tuju kerjasama politik dalam masa terdekat, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam pertemuan semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kedua dari kiri) bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kedua dari kanan) di sidang media mengenai Pilihan Raya Negeri Johor pada Januari.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kedua dari kiri) bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kedua dari kanan) di sidang media mengenai Pilihan Raya Negeri Johor pada Januari.

PAS akan memuktamad hala tuju kerjasama politik parti itu dalam masa terdekat iaitu sama ada untuk terus bersama Umno atau Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini, Muhyiddin berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada pertemuan parti itu dengan Bersatu semalam.

"Saya diberikan bayangan mungkin dalam tempoh terdekat PAS akan buat satu keputusan muktamad mengenai hala tuju di masa hadapan dalam PN… sama ada ada lagi usaha yang akan dibuat dengan Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya malam tadi berhubung pertemuan itu.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata pihaknya tidak akan mempengaruhi keputusan PAS berhubung status kerjasama terbabit.

“PN serah kepada PAS untuk buat keputusan. Kita mesti ambil satu pendirian yang sama dalam semua perkara supaya tidak ada pertembungan kepentingan,” katanya.

Beliau berkata pertemuan itu turut menggambarkan kerjasama antara PAS dan Bersatu masih kukuh serta erat walaupun parti tersebut sebelum ini mengkritik kenyataan Muhyiddin yang mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama dalam menghadapi PRU15.

“Pertemuan semalam menggambarkan bahawa apa yang lebih penting ialah pertemuan terkini yang menjelaskan bagaimana hubungan kita dan kenyataan yang saya telah buat jangan disalahtafsirkan,” katanya.

Ketika menghadiri majlis ulang tahun ke-6 Bersatu pada Sabtu lepas, Muhyiddin telah mengisytiharkan BN sebagai musuh utama PN yang perlu dilawan pada PRU15.

Mengenai cadangan membentuk agenda perpaduan ummah antara Bersatu, PAS dan Umno, beliau berkata kerjasama itu tidak mungkin dapat direalisasikan kerana Umno telah menyatakan pendirian pada Perhimpunan Agung 2020 parti tersebut yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.