- Iklan -
Berita

PM belum dapat ilham untuk bubar Parlimen

Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi Umno pada 30 September ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bercakap dalam sebuah konferens di New York pada 25 September. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bercakap dalam sebuah konferens di New York pada 25 September. Gambar: Bernama

Ketika spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin kencang, Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan bila beliau akan membubarkan Parlimen. 

Perdana menteri berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi Umno pada 30 September ini. 

“Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) top five dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah," katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat. 

Ismail yang juga naib presiden Umno, berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT Umno. 

"Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang," katanya. 

Top five merujuk kepada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden Umno.

Ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa berada di bandar raya ini dan adakah ia semakin dekat, Ismail menjawab “belum lagi.” 

“Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara" katanya. 

Perdana menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau untuk membangunkan kawasan seumpama itu. 

"Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya sambil tersenyum.