- Iklan -
Berita

Zahid dinafikan perbicaraan adil jika mahkamah tolak pernyataan Fadzlette, kata pembelaan

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata saksi itu ingin memberikan keterangan bagaimana sikap dan perlakuan seorang lagi bekas pegawai presiden Umno tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) hari ini berhujah bahawa bekas timbalan perdana menteri itu akan dinafikan perbicaraan yang adil jika Mahkamah Tinggi menerima hujah pendakwaan dan menghentikan saksi daripada memberi keterangan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata ini akan membawa kepada pelanggaran hak anak guamnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah pernyataan saksi pendakwaan ke-90 yang juga bekas setiausaha eksekutif Zahid iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly telah dicabar oleh pembelaan.

“Pernyataan saksi Mejar Jeneral Fadzlette Othman Merican Idris Merican, saksi pembelaan kedua, hendaklah diterima selagi ia mempunyai kaitan dengan fakta dan isu yang relevan kepada pertuduhan,” katanya ketika berhujah di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata Fadzlette ingin memberikan keterangan bagaimana beliau mengenali Mazlina dan perlakuannya ketika bekerja. 

“Beliau ingin memberi contoh bagaimana Mazlina lebih cenderung bekerja secara silo, yang relevan dengan kes. Saksi juga ingin menunjukkan bahawa Mazlina bersikap berat sebelah terhadap tertuduh,” katanya sambil menambah bahawa Mazlina gagal mengikut arahan dan bukan seorang yang amanah.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran pula berhujah pembelaan tidak boleh menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 153 (2) Akta Keterangan 1950 kerana mereka perlu membuktikan bahawa Mazlina bersikap berat sebelah terhadap Zahid.

Beliau berkata keterangan bahawa Mazlina tidak mematuhi arahan dan membuat keputusannya sendiri tidak termasuk dalam peruntukan itu kerana ia tidak membuktikan bahawa saksi pendakwaan itu mempunyai motif yang tidak baik terhadap Zahid.

“Bagaimana keterangan ini, jika diterima oleh mahkamah, membuktikan bahawa Mazlina tidak mengikut arahan apabila beliau hanya berurusan dengan Zahid dan bukannya Fadzlette? Sedangkan dalam kes ini, saksi kedua (Fadzlette) hanya kisahkan isu Mazlina tidak menghormati beliau," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan hari ini untuk memutuskan perkara itu. 

Semalam, pendakwaan membantah sebahagian daripada pernyataan saksi Fadzlette atas alasan ia tidak relevan dan tidak boleh diterima masuk oleh mahkamah sebagai bukti.  

Fadzlette dijadual memberi keterangan pada perbicaraan itu semalam.

Beliau adalah setiausaha akhbar Zahid ketika ahli politik itu menyandang jawatan timbalan perdana menteri dan kini merupakan pengarah media presiden Umno tersebut.

Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.