- Iklan -
Berita

Iran harap penyelesaian dicapai selepas pemberhentian penerbangan ke KL jejas pelancongan

Syarikat penerbangan Iran, Mahan Air merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangannya ketika dunia melangkah ke era pasca pandemik sebelum ia terpaksa menghentikan perkhidmatan ke Kuala Lumpur.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pada 2019, Mahan Air membawa lebih 100,000 penumpang antara Iran dan Malaysia.
Pada 2019, Mahan Air membawa lebih 100,000 penumpang antara Iran dan Malaysia.

Iran menyatakan kebimbangan berhubung impak keputusan yang diambil bulan lalu menghentikan satu-satunya penerbangan secara terus dari negara itu ke Malaysia, menyifatkan langkah itu memberi tamparan hebat kepada industri pelancongannya selain perniagaan yang melibatkan kedua-dua negara.

Bulan lalu, syarikat penerbangan Iran, Mahan Air terpaksa menghentikan penerbangan secara terus Tehran-Kuala Lumpur, yang beroperasi selama lebih tiga dekad.

Duta Iran ke Malaysia Ali Asghar Mohammadi berkata beliau berharap isu itu dapat diselesaikan segera.

“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera dan Mahan Air akan dapat meneruskan operasinya di KLIA dengan penerbangan terus antara kedua-dua ibu negara seperti sebelum ini bagi meningkatkan hubungan pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan Iran dalam era pasca pandemik,” kata Mohammadi kepada MalaysiaNow.

Perkara itu turut dibangkitkan semasa perbualan telefon antara Presiden Iran Seyyed Ebrahim Raisi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Bulan lalu, sebuah laporan mengatakan syarikat pengisi minyak di lapangan terbang Malaysia diancam dengan tindakan punitif jika mereka meneruskan operasi pengisian minyak bagi pesawat dari Iran, yang dikenakan sekatan dari AS.

Ketiadaan penerbangan terus antara Iran dan Malaysia ketika ini dirasai ribuan pelajar, ekspatriat dan pengusaha perniagaan yang banyak bergantung dengan perkhidmatan penerbangan dan pengangkutan Mahan Air.

Pada 2019, Mahan Air membawa lebih 100,000 penumpang antara Iran dan Malaysia, dan ia turut merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangannya ketika dunia melangkah ke era pasca pandemik seiring aktiviti promosi Tourism Malaysia di Iran pada Mei lalu bagi membangkitkan semula aktiviti dalam sektor pelancongan.

Tahun lalu, Iran berada di kedudukan ketujuh sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia di Timur Tengah, di mana jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai RM2.6 bilion, melonjak hampir 70% berbanding tahun sebelumnya.