- Iklan -
Berita

Kes baru Covid-19 turun sedikit minggu lalu

13,627 kes baru Covid-19 direkodkan sementara kematian menurun kepada 31 kes.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai masih dilihat memakai pelitup muka di kawasan terbuka bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Orang ramai masih dilihat memakai pelitup muka di kawasan terbuka bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Sebanyak 13,627 kes baru Covid-19 direkodkan bagi minggu epidemiologi ke-37 (ME 37/2022) iaitu dari 11 hingga 17 Sept lepas berbanding 14,072 kes pada ME 36/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka kes baru berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 3.2%.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 37/2022 adalah 26,378 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4.1% berbanding minggu sebelumnya," kata beliau dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 31 kes kematian yang direkodkan pada ME 37/2022 juga menunjukkan penurunan sebanyak 8.8% berbanding 34 kes pada minggu sebelumnya.

Mengenai bilangan kes sembuh pula, beliau berkata ia juga turun sebanyak 16% dengan 14,513 kes itu direkodkan bagi ME 37/2022 berbanding 17,286 kes pada minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 37/2022 menunjukkan penurunan 6.7% bagi pesakit kategori 1 dan 2, manakala tiada perubahan untuk pesakit kategori 3, 4, dan 5.

“Bagi %an pengisian katil fasiliti Covid-19, menunjukkan penurunan satu % bagi katil bukan kritikal manakala katil unit rawatan rapi (ICU) dan katil pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), masing-masing turun 2%.

“Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula menunjukkan tiada perubahan,” kata beliau.

Jumlah kes positif yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga turun.

Mengenai Nilai RT atau kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata ia meningkat kepada 0.96 pada ME 37/2022 berbanding 0.92 pada minggu sebelumnya.