- Iklan -
Berita

MT Umno akan buat keputusan berhubung rundingan dengan PAS, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata baik buruk rundingan tersebut akan dibincangkan sekiranya ia dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera PAS dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP
Kibaran bendera PAS dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP

Keputusan sama ada Umno dan PAS akan mengadakan rundingan termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno, kata Mohamad Hasan.

Timbalan presiden Umno itu berkata baik buruk rundingan atau pertemuan antara kedua-dua parti tersebut akan dibincangkan sekiranya perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat MT Umno. 

“Umno bukan saya, Umno adalah parti, jadi parti kena buat keputusan, apa sahaja pandangan saya tidak penting, pandangan parti itu penting. Ia diputuskan dalam satu musyawarah dan badan tertinggi iaitu MT,” katanya kepada pemberita pada Program Merdeka@Komuniti DUN Paroi 2022 di Dataran Senawang di Seremban hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa PAS menganggap semua pihak bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk Umno sebagai rakan ta’awun (rakan kerjasama) dalam membina negara baik serta diredai tuhan dan perkara itu diputuskan Jawatankuasa Kerja PAS yang bermesyuarat pada Ahad lepas.

Bagaimanapun, Mohamad mengulangi pendirian bahawa Barisan Nasional (BN) setakat ini memutuskan untuk menghadapi PRU15 secara bersendirian.

Sementara itu, beliau berkata BN ketika ini masih belum menyentuh aspek calon dan kerusi bagi menghadapi PRU15.

“Belum lagi lihat soal itu, (calon dan kerusi) sebab mahu lihat boleh menang, kesiapsiagaan itu faktor utama menang kalah untuk hadapi pilihan raya. Tidak guna kita cakap soal calon… kalau jentera tiada, tidak guna juga, kesiapsiagaan jentera amat penting,” katanya.